KEDA peruntuk RM3.37 juta laksana Program Keterjaminan Makanan

Rubiah (dua dari kanan) turut sama membantu memasukkan bahan-bahan untuk memasak bubur asyura.
Rubiah (dua dari kanan) turut sama membantu memasukkan bahan-bahan untuk memasak bubur asyura.
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) memperuntukkan sebanyak RM3.37 juta bagi melaksanakan Program Keterjaminan Makanan di Kedah pada tahun ini.

Penglibatan agensi itu bagi memastikan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2021-2025 dan Dasar Agro Makanan Negara 2021-2030 melalui Projek Pertanian Luar Bandar (PPLB) dengan nilai RM2.12 juta dan Projek Pembangunan Sawah di kawasan Wilayah Kedah pula sebanyak RM1.25 juta.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, sasaran bagi projek PPLB melibatkan 115 usahawan tani dengan keluasan 71 hektar bertujuan membantu peserta pertanian meningkatkan pendapatan, meningkatkan pengeluaran makanan dan mengurangkan kebergantungan import.

“Kami membantu mereka dengan memberikan input pertanian, peralatan, mesin pertanian dan industri asas tani. Kami juga membaik pulih dan menaik taraf tanah terbiar serta memberi latihan, kursus, promosi dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan KEDA di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, di sini pada Isnin.

Rubiah (tengah) pada sidang media sempena Majlis Perhimpunan Bulanan KEDA.
Rubiah (tengah) pada sidang media sempena Majlis Perhimpunan Bulanan KEDA.

Hadir sama adalah Timbalan Pengerusi KEDA, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dan Pengurus Besar KEDA, Ismasuhaimi Shariff.

Jelas Rubiah, bagi projek pembangunan sawah pula, KEDA menyasarkan untuk pemulihan sebanyak 50 hektar sawah, membaik pulih lima kilometer (km) sistem perparitan serta 7.5 km jalan pertanian pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, terdapat 2,654 hektar tanah terbiar di Kedah yang tidak dimajukan ketika ini dan dianggarkan sebanyak 2,000 hektar atau 85 peratus tanah terbiar adalah di dalam wilayah KEDA.

“Objektif program pemulihan tanah terbiar di Kedah adalah untuk membantu petani dan pesawah mengoptimumkan penggunaan tanah dalam menyokong program keterjaminan makanan negara.

Rubiah berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KEDA di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Alor Setar pada Isnin.
Rubiah berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KEDA di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Alor Setar pada Isnin.

“Selain padi, ada peserta kita yang tanam nenas, durian, cili dan buahbuahan lain. Sejak tahun 2014 lalu, KEDA telah mengusahakan 1,154 hektar tanah terbiar dan seramai 1,772 penerima manfaat,” ujarnya.

Tambah Rubiah, mereka belum menetapkan sasaran spesifik berkenaan jumlah peratusan sasaran KEDA dalam membantu membekalkan makanan kepada negara.

“Pada masa ini kita memberi khidmat dalam bentuk sosial ekonomi kepada masyarakat luar bandar, kita mesti ada objektif yang perlu dilengkapi petunjuk prestasi utama (KPI) dan perolehan daripada program kita laksanakan.

“Saya tidak boleh noktahkan di sini pada hari ini sebab kita perlu penilaian tertentu bagi pastikan peranan dan tanggungjawab itu dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!