'Noh patut balas budi UMNO bukan masuk parti lain' - Sulaiman

Kepimpinan UMNO Bahagian Tanjong Karang termasuk sayap Pemuda dan Puteri serta cawangan menyatakan solidariti selepas sidang akhbar di Bangunan UMNO Tanjong Karang di sini pada Isnin malam.
Kepimpinan UMNO Bahagian Tanjong Karang termasuk sayap Pemuda dan Puteri serta cawangan menyatakan solidariti selepas sidang akhbar di Bangunan UMNO Tanjong Karang di sini pada Isnin malam.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar sewajarnya membalas budi kepada parti yang banyak berjasa sepanjang enam penggal beliau menjadi Ahli Parlimen Tanjong Karang.

Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak berkata, pelbagai kemudahan dinikmati Noh sepanjang menjadi Ahli Parlimen selain dilantik menganggotai jawatan kabinet.

"Beliau (Noh) yang sepatutnya membalas jasa UMNO dengan cara sendiri dan bukannya masuk parti lain.

"Kenanglah jasa parti yang banyak beri sumbangan kepada beliau, (UMNO) tempat yang pernah menaikkan namanya tidak sepatutnya dipijak," katanya semasa sidang akhbar di Bangunan UMNO Tanjong Karang di sini pada Isnin malam.

Sulaiman turut mengakui berdepan cabaran getir bagi menghadapi Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

"Kita kena terima hakikat bahawa Noh berkhidmat lama sebagai wakil rakyat dan mungkin juga ada sentimen atau sokongan jangka masa panjang," ulas beliau.

Bagaimanapun katanya, pihaknya akan memastikan UMNO bahagian itu terus bekerja kuat dalam meyakinkan pengundi untuk terus menyokong parti itu.

"Semua jentera kita perlu bekerja lebih keras untuk bangkit semula di Tanjong Karang," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai penyertaan Noh dalam Bersatu berikutan kecewa Titah Adendum terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Sulaiman memberitahu, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan alasan.

"Bossku (Najib) di penjara sewaktu beliau jadi menteri dan (Datuk Seri) Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, bukan semasa Datuk (Seri) Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri," katanya.

Sinar Harian pada 4 Julai lalu melaporkan, Noh mengesahkan menyertai Bersatu berkuat kuasa serta-merta selepas permohonan dibuat secara terus dalam talian tanpa diketahui sesiapa.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata, pihaknya menerusi hampir 18,000 sayap dan akar umbi kekal teguh menerusi kepimpinan sedia ada meskipun 70 ahli bertindak keluar parti untuk menyertai Bersatu pada Ahad.

"Kita mengambil maklum mengenai tindakan yang turut melibatkan sayap bahagian itu dan sudah mengesan awal wujudnya gerakan tersebut (keluar parti).

"Namun, kita menerusi 97 cawangan terus kekal bersoladiriti demi memperkukuhkan kepimpinan baharu UMNO bahagian ini yang baru berusia lebih setahun," tambah beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!