Pasukan George Town Festival 2024 mohon maaf, padam klip video

Tangkap layar klip video George Town Festival 2024 yang telah dipadamkan bagi mengelak salah faham berterusan dalam kalangan orang ramai.
Tangkap layar klip video George Town Festival 2024 yang telah dipadamkan bagi mengelak salah faham berterusan dalam kalangan orang ramai.
A
A
A

GEORGE TOWN - Pasukan George Town Festival 2024 telah memadam klip video 'teaser' berhubung sambutan festival tersebut di semua saluran media sosial, laman sesawang dan aplikasi Youtube George Town Festival.

Pasukan itu dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan tersebut dibuat untuk mengurangkan salah faham dalam kalangan orang ramai.

Pasukan itu juga memohon maaf di atas salah faham yang berlaku.

"Kami mengambil peluang ini untuk memohon maaf atas segala kekurangan, kesulitan, kekhilafan dan salah faham yang timbul berhubung isu ini.

"Kami dengan rendah diri akan terus berusaha untuk menjayakan George Town Festival 2024," kata kenyataan itu pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, Pasukan George Town Festival 2024 kesal apabila klip video tersebut dengan tidak sengaja telah menyinggung perasaan sesetengah individu dan kumpulan.

"Sebenarnya, kesemua perancangan dan promosi George Town Festival 2024 telah cuba sedaya upaya untuk memastikan perwakilan yang inklusif, komprehensif dan seimbang termasuk daripada segi kategori program, kumpulan jantina, umur serta perwakilan etnik dalam semua program George Town Festival.

"Selain itu, kami telah menjemput wakil berbilang bangsa untuk terlibat sama dalam 'teaser' video tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan orang ramai, kami telah menurunkan klip video berkenaan di semua platform termasuk di Youtube George Town Festival," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, lapan program oleh individu dan kumpulan masyarakat Melayu akan disajikan dalam festival yang bermula pada 19 Julai ini.

"Antara program tersebut ialah persembahan PEON oleh Patblas Creative, persembahan tarian oleh MyDance Alliance dan pameran seni USM: Pelayaran Penemuan @GTF.

"Pasukan George Town Festival 2024 akan terus mempromosikan George Town Festival sebagai festival yang memupuk semangat muhibah demi mewujudkan masyarakat Malaysia Madani yang makmur," kata kenyataan itu.

Sementara itu, George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) dalam kenyataannya berkata, pihaknya sentiasa komited dalam memelihara, mengangkat nilai keharmonian dan kewujudan bersama antara semua warisan kebudayaan di Pulau Pinang.

Tambah GTWHI, selaku pemilik projek, pihaknya telah menetapkan penanda aras prestasi kepada pelaksana festival tersebut.

"Antara aspek yang amat dititikberatkan adalah representasi seniman tempatan dari Malaysia iaitu meliputi 50 peratus daripada keseluruhan program dalam festival. Festival George Town 2024 bakal memaparkan 80 program yang mana, 53 program adalah persembahan daripada seniman tempatan dalam bentuk seni filem, teater, pameran, seni pemasangan dan pengalaman deria silang disiplin.

"GTWHI memandang berat dan cakna akan kekecewaan yang diluahkan oleh warga komuniti tempatan. Pihak kami telah menasihati pihak kontraktor festival iaitu Kerson Media Global Sdn Bhd untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin dan meningkatkan promosi program tempatan dalam masa terdekat," katanya.

Menurutnya, selama ini, GTWHI berpegang teguh kepada prinsip amalan terbaik dan berusaha untuk menonjolkan bandar warisan teladan melalui penganjuran Sambutan Perayaan Warisan George Town yang diadakan pada Julai setiap tahun.

"Perayaan ini memberi ruang kepada komuniti-komuniti setempat untuk meraikan kepelbagaian identiti yang wujud secara harmoni di bandar bersejarah ini. Perayaan Warisan George Town yang diadakan pada 7 Julai 2024 baru-baru ini telah disempurnakan dengan kerjasama 22 kumpulan komuniti tempatan.

"Ia berjaya menarik seramai 18,000 pengunjung dan peserta daripada segenap lapisan masyarakat. Bertemakan Perayaan Warisan tahun ini, 'Transmisi dan Perlindungan' membawa pengunjung menerokai unsur-unsur warisan kebudayaan masyarakat tempatan dan menggalakkan transmisi pengetahuan warisan kebudayaan kepada generasi muda," katanya.

Ujarnya, GTWHI sentiasa teguh dengan pendirian dalam memelihara keharmonian dan keunikan masyarakat Madani berbilang bangsa di Malaysia.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dan Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Melayu Negeri Pulau Pinang (Gagungan) meminta kerajaan Pulau Pinang melalui George Town World Heritage Incorporated bertindak dengan penuh tanggungjawab berhubung perkara itu.

Presidennya, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, klip video bertemakan 'Here and Now' itu nyata tidak mempromosikan semangat muhibah dan masyarakat Madani di Pulau Pinang kerana seolah-olah menafikan kewujudan budaya kaum Melayu di negeri itu.

Klip video 'teaser' itu didakwa tersebar luas dalam media sosial bagi mempromosikan 'George Town Festival' yang dijadual berlangsung pada 19 hingga 28 Julai depan.

Bagaimanapun, difahamkan klip video berdurasi hampir dua minit itu telah dipadam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!