[VIDEO] Johor sasar 60 pingat emas pada Sukma Sarawak

A
A
A

JOHOR menyasarkan kutipan sekurang-kurangnya 60 pingat emas dalam misi mengekalkan kelompok tiga terbaik pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di Sarawak yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos ini.

Ketua Kontinjen Johor, Datuk Pandak Ahmad berkata, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan maklum balas pengurus dan jurulatih kontinjen dan lawatan ke vanue sukan.

"Kontinjen Johor akan menghantar seramai 599 atlet ke Sarawak dengan 80 peratus daripadanya merupakan muka baharu. Persiapan atlet kini dalam keadaan baik dan bersemangat memburu pingat.

"Pasukan bola sepak menjadi kumpulan pertama yang akan diterbangkan ke Sarawak pada 10 Ogos nanti," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Amanat Ketua Kontinjen Johor bersama Pengurus dan Jurulatih Kontinjen Sukma di sebuah hotel di Iskandar Puteri pada Selasa.

Menurut Pandak, kontinjen Johor akan menyertai 36 acara daripada keseluruhan 37 acara sukan yang dipertandingkan pada Sukma kali ini.

Akuinya, kontinjen Johor berdepan cabaran besar kerana acara sukan yang menjadi lubuk emas iaitu kanu tidak dipertandingkan di Sukma Sarawak.

"Kanu menyumbang 23 pingat emas kepada Johor ketika Sukma Kuala Lumpur, dua tahun lalu. Namun kini, sukan olahraga silat, tinju, memanah dan acara berpasukan. Begitu juga dengan bola sepak yang disasarkan akan mengutip emas.

"Sudah pasti tuan rumah mempunyai strategi tersendiri untuk memanfaatkan peluang sebagai hos Sukma ke-21 selain berdepan saingan sengit daripada kontinjen Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pandak (kiri) bertanya kepada pengurus dan jurulatih sukan mengenai persiapan Sukma Sarawak.
Pandak (kiri) bertanya kepada pengurus dan jurulatih sukan mengenai persiapan Sukma Sarawak.

Dalam pada itu ditanya mengenai imbuhan diperoleh atlet yang memperoleh pingat emas pada Sukma Sarawak, jelasnya, kerajaan negeri akan mempertimbangkan ganjaran seimbang kepada atlet yang berjaya.

"Biasanya kerajaan negeri akan memberi insentif yang sepadan kepada atlet yang mendapat pingat.

"Perkara ini, kita serah kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Namun saya yakin Onn Hafiz akan memberi ganjaran besar kerana cabaran lebih hebat di Sukma Sarawak," katanya.

Pandak (kiri) bertanya kepada pengurus dan jurulatih sukan mengenai persiapan Sukma Sarawak.
Pandak (kiri) bertanya kepada pengurus dan jurulatih sukan mengenai persiapan Sukma Sarawak.

Johor sebelum ini melakar kejayaan apabila muncul juara keseluruhan buat kali pertama di Sukma 2022 dengan mengutip 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa.

Perkampungan bagi kontinjen Johor terletak di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Kuching dengan 12 acara dipertandingkan di Miri, Mukah, Betong dan Bintulu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!