Lilitan reben putih tidak langgar peraturan dewan - Timbalan Speaker
KUALA LUMPUR - Tindakan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengenakan lilitan reben putih di lengan kiri tidak melanggar peraturan Dewan Rakyat.
Pendirian itu disuarakan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor ketika menjawab soalan dibangkitkan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan).
“Pendirian saya (kalau) selagi pakaian itu tidak melanggar syarat yang ditetapkan dewan... silakan. Itu keputusan peribadi saya. Ia tidak melanggar,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Bung Moktar ketika bangkit mencelah mempersoal sama ada berlaku musibah berikutan ahli Parlimen blok pembangkang mengenakan lilitan reben putih.
Pada Isnin, semua Ahli Parlimen PN tampil mengenakan lilitan reben putih di lengan kiri sebagai tanda protes terhadap keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berhubung kerusi enam bekas wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) sebelum mengajukan soalan kedua, beliau menerusi pantun empat kerat menjelaskan, reben tersebut sebagai protes atas 'reformati' dengan merujuk kepada Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Johari memutuskan tidak mengosongkan enam kerusi Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara itu disahkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi surat yang diterima daripada Johari yang mengekalkan status Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) sebagai wakil rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!