AMK anjur program penerangan RUU355

Ashraf
Ashraf
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan mengadakan beberapa program penerangan dan pencerahan berkenaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) dalam usaha memberi pemahaman kepada rakyat Malaysia.

Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama AMK, Ashraf Hadi berkata, inisiatif tersebut sebagai sokongan penuh terhadap iltizam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkasakan rang undang-undang berkenaan.

"Usaha itu mencerminkan komitmen teguh Perdana Menteri dalam memartabatkan Mahkamah Syariah di era pentadbiran Malaysia Madani, sekali gus menamatkan polemik agama berkaitan RUU355 yang sebelum ini diguna pakai oleh parti pembangkang.

"AMK turut menyeru semua pihak untuk menyokong usaha murni dan iltizam Perdana Menteri demi kebaikan bersama serta kemajuan sistem perundangan syariah di Malaysia," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini Anwar dilapor berkata, beliau telah menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) minggu lalu berkenaan RUU 355.

Menurutnya, pindaan terhadap rang undang-undang berkenaan perlu dibuat dengan teliti dan mengambil kira pandangan semua pihak, sama ada Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil termasuk pakar undang-undang antarabangsa.

Selain itu Perdana Menteri turut memaklumkan, setakat ini tiada sebarang bantahan atau masalah terhadap perkara tersebut sama ada dari ketua hakim negara atau Majlis Raja-Raja.

"Majlis Raja-Raja memberi perkenan, cuma mereka minta supaya diteliti agar tidak dilihat gopoh atau dalam pelaksanaan dilihat kelemahan ketara,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia di Putrajaya pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!