Trump umum Senator JD Vance sebagai calon Naib Presiden

Donald Trump, JD Vance
Donald Trump, JD Vance
A
A
A

WASHINGTON - Bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Isnin mengumumkan Senator Ohio, JD Vance akan menjadi calon Naib Presidennya dalam pilihan raya 2024, lapor Agensi Anadolu.

"Selepas mempertimbangkan dengan teliti dan menilai bakat luar biasa ramai individu, saya memutuskan bahawa Senator JD Vance dari Ohio adalah yang paling sesuai menyandang jawatan Naib Presiden Amerika Syarikat," kata Trump di laman sesawang Truth Social miliknya.

Pengumuman ini dibuat pada hari pertama Konvensyen Kebangsaan Republikan dan parti itu secara rasmi mencalonkan Trump sebagai calon presidennya menjelang pilihan raya pada November.

Vance, 39, merupakan bekas anggota marin dan mengukuhkan kedudukannya sebagai seorang ahli politik yang lantang dan cenderung dengan pandangan populis semasa tiga tahun di Senat.

Beliau kini merupakan penyokong setia agenda Trump, selepas pada awalnya menjadi pengkritik hebat bekas presiden itu.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Vance lantang menentang hak pengguguran dan menjadi penyokong kuat Israel sebelum dan semasa konflik di Semenanjung Gaza. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!