KKR sedia kongsi hasil siasatan insiden ragut nyawa
KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya (KKR) bersedia untuk berkongsi hasil dapatan daripada siasatan kes insiden pembinaan lebuh raya yang meragut nyawa.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan itu dilakukan susulan tanggungjawab KKR untuk mendedahkan kepada umum.
“Kita akan lihat kepada skalanya (tahap keseriusan insiden), jika kecil (tidak libat kematian), mungkin tidak perlu.
“Bagaimanapun, jika ia meragut nyawa dan berskala besar maka itu tanggungjawab kita untuk mendedahkan kepada awam tentang dapatan kajian atau siasatan terhadap kes itu,” katanya ketika sidang Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) mengenai kesedian kerajaan berkongsi laporan siasatan berhubung insiden meragut nyawa pengguna kepada umum dan cadangan memperkemas prosedur operasi standard (SOP) khusus aspek keselamatan.
Mengulas mengenai SOP, Alexander yang juga ahli Parlimen Kapit memaklumkan, kementerian sentiasa menambah baik prosedur berkenaan kerana ia boleh berubah-ubah dan tidak statik.
“SOP ini memang telah ditambah baik, kalau ada ruang dan peluang untuk ditambah baik jadi itu tidak ada masalah. Kita sentiasa menyesuaikan SOP ini supaya ia memberi impak dalam mengelak kesan buruk kepada pelaksanaan mana-mana projek.
“Jadi SOP ini merupakan satu garis panduan supaya kita menggunakan cara yang terbaik. Ia dinamik bukan statik,” ujarnya.
Sementara itu, Alexander turut mengulas mengenai SOP ditetapkan kerajaan kepada kontraktor pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) untuk tidak menjadi punca kepada bencana alam.
Menurutnya, sebelum memulakan sebarang kerja, pihak kontraktor perlu mengemukakan permohonan terlebih dahulu dan semasa kerja-kerja tersebut dilaksanakan.
Tambah beliau, penentuan kriteria, spesifikasi dan piawaian yang diguna pakai adalah berdasarkan penelitian bersama pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di peringkat awal reka bentuk.
“Apabila berlaku insiden tanah runtuh atau banjir di sepanjang kawasan pembinaan projek LPB, Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama JPS dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil tindakan segera untuk mengurangkan kesan lebih buruk kepada masyarakat setempat.
“Ini termasuklah menambahbaik sistem saliran sedia ada di dalam sempadan kerja projek LPB contohnya menyediakan pembetung tambahan serta menaik taraf aliran sungai yang terlibat sekiranya diperlukan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!