Keluarga belum putuskan lokasi pengebumian jenazah Nur Farah Kartini

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Keluarga mangsa kes bunuh, Nur Farah Kartini Abdullah, 25, belum menentukan lagi lokasi untuk pengebumian jenazah wanita itu.

Abang mangsa, Mohd Farriza Azmi Abdullah berkata, perkara itu akan diputuskan oleh ibu mereka.

Menurutnya, ibu mereka dijangka tiba dari Miri pada malam ini (Selasa).

"Lokasi pengebumian arwah adik masih belum dapat dimuktamadkan kerana ibu tidak membuat sebarang keputusan lagi," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh (HSB) di sini pada Selasa.

Mohd Farriza Azmi berkata, urusan bedah siasat ke atas adiknya dijadualkan berlangsung pada Selasa bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Menurutnya, jika dikebumikan di Miri, jenazah adik akan dibawa pulang ke Kampung Lereng Bukit.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan mayat wanita itu ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang di sini kira-kira jam 6 petang.

Pemeriksaan awal mendapati mayat terbabit dipercayai mangsa yang dilaporkan hilang berkait laporan di Tanjung Malim, Perak pada 11 Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

Nur Farah Kartini yang berasal dari Miri, Sarawak dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di Taman Universiti, Tanjung Malim.

Susulan itu, pada Selasa, seorang lelaki dipercayai teman lelaki kepada Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang disyaki membunuh wanita berkenaan direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes tersebut.

Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 26 tahun yang merupakan penjawat awam dikeluarkan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Siasatan ke atas suspek dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!