LHDN lulus 141,406 permohonan pengakuan sukarela

Amir Hamzah. Foto Bernama
Amir Hamzah. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah meluluskan sebanyak 141,406 permohonan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, permohonan itu melibatkan 102,572 pembayar cukai individu, 27,707 syarikat dan selebihnya lain-lain kategori seperti pertubuhan.

“Jumlah itu melibatkan taksiran cukai dilaporkan sebanyak RM1.29 bilion dan hasil dibangkitkan didapati melepasi sasaran awal yang ditetapkan iaitu sebanyak RM1 bilion.

“Daripada jumlah taksiran tersebut, sebanyak RM512.6 juta telah berjaya dikutip,” katanya ketika sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai keberkesanan PKPS 2.0 mengenai bilangan syarikat dan individu yang telah menyertainya serta nilai kutipan hasil yang berjaya diperoleh.

PKPS 2.0 merupakan inisiatif kerajaan yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2023 bagi memperluaskan jaringan pembayar cukai, meningkatkan tahap pematuhan cukai dan seterusnya meningkatkan kutipan hasil negara.

Program berkenaan telah dilaksanakan oleh LHDN dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dengan tawaran penalti pada kadar 0 peratus bagi pengakuan sukarela yang dibuat oleh individu dan syarikat dalam tempoh mulai 6 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024.

Dalam pada itu, Amir Hamzah memberitahu, JKDM menerima sebanyak 1,542 permohonan pengakuan sukarela daripada pembayar cukai individu dan syarikat dengan jumlah cukai yang diikrarkan adalah sebanyak RM229 juta.

Artikel Berkaitan:

“Jumlah ini juga telah melebihi sasaran yang dijangkakan iaitu sebanyak 500 permohonan dengan nilai kutipan cukai berjumlah RM200 juta.

“Hasil cukai yang dikutip daripada PKPS, akan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan seperti mana lain-lain hasil cukai yang dikutip oleh kerajaan,” ujarnya.

Menurut Amir Hamzah, hasil berkenaan akan digunakan semula untuk membiayai perbelanjaan negara yang diluluskan oleh Parlimen melalui belanjawan tahunan, termasuk projek pembangunan awam seperti sekolah, universiti, hospital, jalan raya dan sebagainya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!