[VIDEO] Lelaki bunuh anak tiri kekal hukuman gantung sampai mati

A
A
A

JOHOR BAHRU - Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang bekas broker tanah yang membunuh anak tirinya, 13 tahun lalu.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, memutuskan keputusan itu sebulat suara selepas menolak permohonan semakan Azman Abd Rahman, 50 untuk mengetepikan hukuman mati yang dikenakan terhadapnya.

Dalam prosiding itu, Hakim Tengku Maimun bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.

Pendakwaan dikendalikan Ketua bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar. Manakala tertuduh diwakili peguam, S. Vijay Rathnam.

Vijay dalam penghujahannya memohon pertimbangan mahkamah dan menyatakan anak guamnya telah kesal dengan perbuatan tersebut, selain keadaan kesihatan anak guamnya yang mengalami kronik hepatitis B dan darah tinggi.

Azman ( tengah) hadir di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, bagi permohonan mengetepikan hukuman mati yang dikenakan terhadapnya kerana membunuh anak tirinya, 13 tahun lalu.
Azman ( tengah) hadir di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, bagi permohonan mengetepikan hukuman mati yang dikenakan terhadapnya kerana membunuh anak tirinya, 13 tahun lalu.

Namun, Mohd Dusuki memohon agar hukuman dikekalkan berdasarkan laporan bedah siasat ke atas jasad kanak-kanak itu menemui lebih dari 72 kesan kecederaan.

Malah hujahnya terdapat pendarahan di beberapa bahagian jasad mangsa terutama pada bahagian otot-otot, paru-paru, kepala dan perut berpunca dari hentakan kuat menggunakan benda tumpul.

Artikel Berkaitan:

Dirumuskan sebab kematian mangsa adalah kerana 'severe muscle contusion and lung contusion due to blunt trauma'.

Berdasarkan pertuduhan, Azman didakwa membunuh Muhammad Firdaus Mohd Dan, 6, di sebuah kebun kelapa sawit di Kampung Solok Pinang, Gadek, Alor Gajah, Melaka antara jam 10.30 pagi hingga 2.15 petang, 10 Oktober 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, Azman didakwa membawa mangsa keluar pada jam 10.30 pagi ke kebun kelapa sawit di Kampung Pinang, Gadek, Alor Gajah, Melaka.

Pada sekitar jam 10.30 pagi hingga 2.15 petang hari sama, mangsa terbuang air besar di dalam seluar ketika dalam perjalanan ke ladang itu yang menimbulkan kemarahan tertuduh dan ketika tiba di tempat kejadian, tertuduh bertindak memukul mangsa dengan ranting kayu serta menendangnya sebelum dihantar ke Hospital Alor Gajah.

Pada 5 Jun 2015, Mahkamah Tinggi, Ayer Keroh, Melaka menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Azman dari Lubok Cina, Linggi, Alor Gajah, yang didapati bersalah membunuh anak tiri lelakinya, pada tahun 2011.

Pada 7 September 2016, Azman dilaporkan gagal dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya dan turut gagal dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 5 Oktober 2017 untuk mengetepikan hukuman mati terhadapnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!