Sorok 15 kepala lori kontena dalam gudang

Norlela (tengah) menunjukkan kepala lori kontena yang dirampas dalam sebuah gudang di Pelabuhan Barat, Klang pada 3 Julai lalu.
Norlela (tengah) menunjukkan kepala lori kontena yang dirampas dalam sebuah gudang di Pelabuhan Barat, Klang pada 3 Julai lalu.
A
A
A

KLANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 15 buah kepala lori kontena dan sebuah lori tangki bernilai RM3.97 juta dipercayai dari China dalam serbuan sebuah gudang di Pelabuhan Barat, di sini, 3 Julai lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, operasi dijalankan sepasukan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II (Selangor).

Menurutnya, pemeriksaan di gudang terbabit menemui 15 kepala lori kontena (prime mover) dan satu lori tangki (water tanker) yang tidak mempunyai permit import.

Norlela (kiri) menunjukkan antara kenderaan yang dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di sekitar Lembah Klang, pada 26 Jun lalu.
Norlela (kiri) menunjukkan antara kenderaan yang dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di sekitar Lembah Klang, pada 26 Jun lalu.

"Kenderaan ini adalah barang larangan di mana pengimportannya dibenarkan dengan syarat mempunyai lesen import di bawah Butiran 8 dan Butiran 9, Bahagian II, Jadual Kedua Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

"Nilai kenderaan dianggarkan RM2.84 juta membabitkan duti dan cukai berjumlah kira-kira RM1.13 juta," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam Selangor di sini pada Selasa.

Tambahnya, pengimport juga gagal mengemukakan permit import dari Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Antara kenderaan yang dirampas JKDM dalam serbuan di sekitar Lembah Klang, 26 Jun lalu.
Antara kenderaan yang dirampas JKDM dalam serbuan di sekitar Lembah Klang, 26 Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes berasingan, JKDM Zon Tengah turut merampas empat kenderaan mewah terpakai jenis BWM dan Audi hasil serbuan di gudang dan bengkel di sekitar Lembah Klang.

Kata Norlela, serbuan pada 26 Jun itu membawa rampasan bernilai RM533,400 termasuk cukai dan duti.

"Siasatan mendapati pihak syarikat menyimpan tiga kenderaan di ruangan tempat letak kenderaan tersorok di dalam gudang berlesen, manakala satu lagi kenderaan diletak di luar bengkel bagi kaburi pihak JKDM," ujarnya.

Kedua-dua kes ini disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!