'Saya tidak sertai UMNO atau kembali kepada PKR' - Mohd Shukri

Mohd Shukri
Mohd Shukri
A
A
A

KUANTAN - Bekas pemimpin reformasi, Mohd Shukri Mohd Ramli yang kini aktif sebagai aktivis masyarakat menafikan dakwaan kononnya beliau kembali menyertai parti politik.

Menurutnya, buat masa ini, beliau lebih menfokuskan kepada kerja-kerja kebajikan menerusi badan bukan kerajaan (NGO) yang akan ditubuhkan dalam masa terdekat ini.

"Ada yang kata saya telah menyertai UMNO atau kembali bersama PKR (Parti Keadilan Rakyat). Ini semua tidak benar dan saya masih bergerak bebas sebagai aktivis masyarakat pada ini.

"Memang ada ura-ura (dakwa) saya nak kembali aktif, namun melihat kepada senario semasa mungkin ia tidak akan menjadi kenyataan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Sebelum ini, terdapat beberapa spekulasi yang mendakwa bekas ahli PKR itu kembali aktif dalam gelanggang politik di negeri ini.

Pada 11 Januari 2011, Mohd Shukri mengumumkan undur diri daripada PKR, selepas lebih 12 tahun berjuang ketika zaman 'Reformasi 98'.

Mohd Shukri juga pernah bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu pada 2013 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini pada 2020.

Beliau gagal untuk pertandingan di kerusi Parlimen Rompin pada PRK, tahun 2015 setelah didapati tidak layak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Artikel Berkaitan:

Mohd Shukri memberitahu perjuangan rakyat marhaen dalam pelbagai isu perlu diberikan perhatian berbanding dengan penglibatan dalam arena politik.

Beliau juga kini berjuang untuk membenteras lambakan premis dan penempatan warga asing yang semakin berleluasa di negara ini.

"Jadi, sesiapa sahaja dipelawa bersama saya dan menjadi mata sert telinga dalam menangani isu-isu rakyat di Pahang," katanya.

Mohd Shukri memberitahu, keputusan meninggal PKR lebih 14 tahun lalu kerana mahu menjadi aktivis bebas.

"Ketika saya buat keputusan pada 2011, saya sudah berniat untuk menjadi aktivis bebas yang boleh menegur semua permasalahan rakyat tanpa ada sekatan," katanya yang aktif di TikTok terutamanya dalam perjuangan isu warga asing yang semakin berleluasa menjalankan perniagaan dan membina penempatan dalam negara ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!