Azizi kini Ketua Polis Perak baharu
IPOH - Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris mengambil alih jawatan sebagai Ketua Polis Perak baharu berkuat kuasa pada Selasa.
Beliau menggantikan Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri yang dilantik ke jawatan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
Majlis serah terima tugas dan pemakaian lencana pangkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu disaksikan Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di sini.
Pada majlis sama, berlangsung upacara serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Perak antara Azizi dengan penyandang baharu, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat.
Turut diadakan, serah tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Perak, Datin Wanita Wari yang sebelum ini memangku jawatan tersebut.
Mohd Yusri ketika berucap dalam Perhimpunan Khas yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak melahirkan rasa bangga kerana diberikan ruang berkhidmat di negeri kelahiran sendiri.
"Sejujurnya saya rasa gembira kerana timbalan (Azizi) mengambil alih (Ketua Polis Perak) di mana Perak ini juga adalah negeri kelahiran beliau (Azizi) serta saya juga," katanya.
Mohd Yusri, 54, merupakan anak kelahiran Langkap, Teluk Intan, manakala Azizi, 60, dari Kuala Kangsar.
Sepanjang tempoh 1 tahun 11 bulan memikul amanah ketua polis negeri, beliau gembira dapat melihat kerjasama serta semangat berpasukan tinggi ditunjukkan pegawai dan anggota hingga menghasilkan banyak kejayaan dalam operasi.
"Ianya menjadi kenangan manis dan terindah buat saya.
"Anda bukan bekerja untuk saya, tetapi kita semua bekerja sebagai warga yang sudah dan akan melaksanakan amanah dipertanggungjawabkan untuk memacu PDRM sebagai satu agensi penguatkuasa utama negara ini," katanya.
Pada Isnin, Mohd Yusri menerima tugas Pengarah JSPT menggantikan Timbalan Pengarah JSPT 1, Datuk Mohd Nasri Omar yang ditugaskan memangku jawatan berkenaan selepas persaraan Datuk Azman Ahmad Sapri pada 8 April lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!