Perunding pelaburan didakwa pindah wang haram hampir RM1 juta

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Taiping selepas selesai pertuduhan memindah wang hasil aktiviti haram berjumlah hampir RM1 juta pada Selasa.
Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Taiping selepas selesai pertuduhan memindah wang hasil aktiviti haram berjumlah hampir RM1 juta pada Selasa.
A
A
A

TAIPING - Seorang perunding pelaburan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping pada Selasa atas empat pertuduhan memindah wang hasil aktiviti haram berjumlah RM926,427.53, tahun lalu.

Tertuduh, Saiful Nizam Saharuddin, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemilik perniagaan PMBIS Growth Venture didakwa telah memindahkan wang sejumlah RM70,000, RM156,427.53, RM600,000 dan RM100,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun semasa syarikat itu ke empat akaun milik individu berlainan berusia 42 hingga 59 tahun.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank cawangan Plaza Centro Klang, Centro Mall, Jalan Batu Tiga Lama, Klang di Selangor pada 27 Julai 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi tiga pertuduhan pertama dan RM60,000 untuk pertuduhan keempat berikutan kesalahan tersebut melibatkan kepentingan awam kerana berleluasanya kes-kes scammer.

Tambahnya, jumlah jaminan yang substantif itu menunjukkan niat pihak berkuasa bahawa kesalahan itu dipandang serius.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun bapa kepada tiga anak yang diwakili peguam, Pang Tek Kit memohon mahkamah mengenakan jaminan yang minimum berikutan tertuduh memberi kerjasama baik dengan tidak pernah gagal hadiri siasatan selain menanggung keluarganya.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berdekatan dan pasport diserahkan ke mahkamah sekiranya ada.

Kes akan disebut semula pada 22 Ogos depan di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!