Waspada penipuan guna AI - PDRM

Ramli
Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini belum menerima laporan berkaitan kes penipuan yang membabitkan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya belum menerima laporan membabitkan taktik seumpama itu, namun orang ramai dinasihatkan untuk tampil sekiranya menjadi mangsa.

"Kita mendapati orang ramai mudah terperdaya taktik 'deepfake' dihasilkan dengan teknologi AI, terutama membabitkan individu berpengaruh seperti ahli politik, ahli perniagaan dan selebriti.

"Taktik ini boleh beransur kepada kegiatan jenayah komersial, sebagai contoh video kononnya individu yang berpengaruh menggalakkan mangsa untuk melabur menerusi skim tidak wujud," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sebelum ini, Ramli dilaporkan berkata, perkembangan teknologi AI yang sangat drastik dan ia boleh disalahgunakan.

Kecanggihan teknologi itu boleh disalahgunakan bagi tujuan jenayah, seperti berkaitan mata wang kripto, macau scam, ransomware dan penipuan pelaburan.

Pada Isnin, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menasihati orang ramai untuk berwaspada dengan taktik penipuan deepfake yang dihasilkan dengan teknologi AI selepas Datuk Seri Siti Nurhaliza menjadi mangsa taktik terbabit.

Pada Ahad, penyanyi nombor satu negara itu dilapor mendedahkan, taktik digunakan scammer yang dipercayai menggunakan teknologi AI bagi meniru suara dan wajahnya demi mengaut keuntungan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!