[VIDEO] Buli Esha: Wanita didenda RM100, pemandu lori minta bicara

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang pemilik rumah kebajikan yang dikaitkan dengan kematian pempengaruh, A Rajeswary atau lebih dikenali sebagai Esha, didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas satu pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat, dua minggu lalu.

P Shalini, 35, dikenakan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca dalam bahasa Melayu, di hadapan Majistret, MS Arunjothy.

Mahkamah memerintahkan dia menjalani hukuman penjara tujuh hari, jika gagal membayar denda berkenaan.

Sathiskumar (kanan) dan Shalini dibawa ke Mahkamah Majistret dan Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Rosli Talib-SINAR HARIAN
Sathiskumar (kanan) dan Shalini dibawa ke Mahkamah Majistret dan Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Rosli Talib-SINAR HARIAN

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan, melalui akaun TikTok atas nama ‘alphaquinnsha’ dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan, di sebuah rumah di Jalan Ipoh, di sini pada jam 4.10 pagi, 1 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, seorang pengadu telah menemui satu akaun itu atas nama tertuduh, telah memfitnah dan membuat beberapa ugutan untuk mencederakan mangsa dengan nada paling ganas.

Tertuduh juga telah membuat siaran langsung di TikToknya dan membuat ancaman kepada individu yang menentangnya.

Artikel Berkaitan:

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafiezah Mohamed Fauzi memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Sementara itu, seorang lagi individu yang dikaitkan dengan Esha, pemandu lori, B Sathiskumar mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas satu pertuduhan mengeluarkan kata-kata lucah, dua minggu lalu.

Sathiskumar, 44, yang memakai kemeja jeans membuat pengakuan itu, selepas pertuduhan dibaca dalam Bahasa Tamil dan Melayu, di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali.

Bagaimanapun, hukuman terhadap lelaki itu ditangguhkan ke tarikh lain, selepas dia menyatakan mahu melantik peguam.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang lucah, melalui perkhidmatan aplikasi TikTok atas nama profil ‘@dulal_brothers_360’ pada jam 10.12 malam, 30 Jun lalu.

Hantaran itu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain dan telah dibaca di sebuah rumah di Jalan Ipoh di sini pada jam 10.15 malam, hari sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000.

Sesyen itu juga memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, bagi pertuduhan kedua, bapa kepada tiga anak ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengaib dan menganggu kesantunan ibu Esha, iaitu R, Puspa, 56, melalui perkhidmatan aplikasi sama, untuk mengganggu kesantunannya di lokasi sama, pada jam 10.15 malam, tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM25,000 bagi setiap pertuduhan, dengan seorang penjamin.

Menurutnya, tertuduh telah menggunakan perkataan yang lucah sehingga menyebabkan mangsa terkesan kerana tidak mampu untuk pertahanankan diri.

“Berikutan kes buli siber ini, ia memberi kesan kepada kesihatan mental mangsa sehingga menyebabkan tekanan emosi yang teruk, termasuk kemurungan, resah, cemas, hilang keyakinan diri dan penyakit tekanan emosi lain.

“Lebih teruk apabila mangsa (Esha) ditemui meninggal dunia selepas hantaran lucah itu dibuat oleh tertuduh,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu kadar ikat jamin tersebut dikurangkan kerana dia perlu menyara isteri yang juga orang kurang upaya termasuk tiga anak berusia 18 hingga 21 tahun.

“Saya ada sakit dada, kencing manis dan darah tinggi, namun gaji yang rendah perlu digunakan untuk menyara dua daripada anak yang masih melanjutkan pelajaran di kolej,” katanya.

Kenyataan tertuduh dibantah oleh pendakwaan apabila menyatakan, tiada dokumentasi berhubung masalah kesihatan lelaki itu, diberi kepada mahkamah.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan lelaki itu diikat jamin sebanyak RM18,000 dengan cagaran, bagi setiap pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 16 Ogos depan.

Pada Isnin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberitahu, tiga individu termasuk seorang bekas polis akan dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes buli siber terhadap Esha di TikTok.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, ketiga-tiga individu terbabit akan dipanggil dalam minggu ini.

Esha ditemui maut di kediamannya di Setapak, di sini pada 5 Julai, selepas sehari membuat laporan ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.

Susulan itu, dua akaun TikTok di bawah penama @DulalBrothers dan @Alphaquinnsha disiasat polis dipercayai menggunakan gambar Esha sebagai latar belakang kandungan video yang telah dimuat naik ke akaun masing-masing.

Kandungan tersebut juga didapati mengandungi ugutan dan ancaman kepada mangsa selain menggunakan kata-kata kesat serta lucah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!