80 rumah setinggan diroboh dalam tempoh 5 jam

Antara rumah setinggan yang diroboh di sekitar Likas dalam Op Pati Bersepadu Mega.
Antara rumah setinggan yang diroboh di sekitar Likas dalam Op Pati Bersepadu Mega.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 80 rumah setinggan dirobohkan dalam tempoh lima jam menerusi Op Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Bersepadu Mega di sekitar Likas pada Isnin.

Operasi bermula jam 10 pagi itu turut menahan tiga wanita warga asing kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, operasi dibantu oleh Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Ketua Menteri, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Operasi yang memakan masa selama lima jam ini telah merobohkan 80 rumah setinggan.

"Dalam operasi ini juga, tiga wanita dewasa yang merupakan warga Filipina ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(C) dan Seksyen 51(C) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya lagi, operasi seumpama itu akan dilakukan secara berterusan pada masa akan datang.

"Usaha ini adalah untuk membanteras jenayah Pati, penyalahgunaan dadah dan gejala sosial di daerah ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!