Shuib selar pembuli siber

Shuib meminta mereka yang gemar buli siber supaya tidak menormalisasi perbuatan itu.
Shuib meminta mereka yang gemar buli siber supaya tidak menormalisasi perbuatan itu.
A
A
A

PELAWAK dan usahawan terkenal, Shuib menyelar perbuatan buli siber yang dilihat semakin parah dalam kalangan masyarakat hari ini.

Menurut Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad, jika sebelum ini, kita pernah mendengari kes bunuh diri akibat tekanan daripada buli siber, kini ‘wabak’ itu sudah merebak dalam masyarakat kita.

“Biasanya kita dengar isu-isu babitkan bunuh diri kerana buli siber hanya berlaku di negara luar misalnya Amerika Syarikat.

“Kes terbaharu melibaktan seorang pempengaruh di Malaysia membuktikan buli siber bukan perkara kecil. Jangan jadikan buli siber normalisasi.

“Tolong hentikan buli siber ini kerana ia bukan budaya kita. Kita kena fikirkan apa impak kepada mangsa atau keluarga mereka yang menjadi mangsa,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Dol's Podcast di Mutiara Damansara baru-baru ini.

Shuib berkata demikian susulan kes membabitkan seorang pempengaruh TikTok menamatkan riwayat sendiri 5 Julai lalu akibat tekanan perasaan selepas menjadi mangsa buli siber.

Katanya, kes berkenaan sedikit sebanyak memberi kesan buatnya kerana dia dan arwah isteri, Siti Sarah Raissuddin juga pernah berdepan dengan kes buli siber sebelum ini sehingga mengalami masalah keresahan melampau.

“Bila ada sesuatu cerita baru, saya sendiri tidak faham ada individu gemar sangat menaip, tinggalkan komen seperti masa untuk makan popcorn. Ini semua jenis suka mengapi-apikan situasi dan ajak orang lain semua berkampung di ruangan itu.

Artikel Berkaitan:

“Saya nak pesan, tak ada apa pun akhirnya pada mereka yang suka fitnah, buli di media sosial. Saya pernah melaluinya, bila taip macam tahu semua, tapi bila dah sampai tahap tindakan undang-undang, hanya mampu tunduk dan mengaku salah sahaja,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!