Kerajaan peruntuk RM100 juta Projek Rintis - KPKM

Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi Projek Rintis melalui inisiatif Belanjawan 2024. Gambar hiasan
Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi Projek Rintis melalui inisiatif Belanjawan 2024. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi Projek Rintis melalui inisiatif Belanjawan 2024.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan berkata, projek tersebut melibatkan pakej pembekalan, penghantaran dan perkhidmatan aplikasi secara terus untuk baja sebatian, bio serta organik di empat negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Terengganu termasuk Kelantan.

"Melalui Projek Rintis ini, pembekalan baja dilaksanakan secara pembajaan tepat dan khusus berdasarkan maklumat 'soil profiling' yang disyorkan Jabatan Pertanian mengikut status kesuburan tanah di kawasan yang telah dikenal pasti.

"Ia merupakan langkah permulaan kerajaan dalam usaha memulih dan meningkatkan kesuburan tanah sekali gus menyumbang kepada peningkatan hasil pengeluaran padi serta beras negara," katanya pada Selasa.

KPKM berkata demikian merujuk kepada berita yang diterbitkan sebuah portal tempatan bertajuk Kesan Penarikan Skim Baja Padi Buat Petani yang disiarkan pada 11 Julai lalu.

Tambah kenyataan tersebut, program pemberian subsidi dan insentif sedia ada iaitu Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) masih diteruskan oleh pihaknya.

"Walau bagaimanapun, pelaksanaan program SBPKP dan SIPP sedia ada ini tidak akan melibatkan kawasan yang telah terpilih di bawah Program Rintis.

"KPKM akan sentiasa memastikan kebajikan pesawah terjaga melalui pemberian subsidi dan insentif dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!