MPKS tak cadang wujud tapak penjaja di Jalan Eco Grandeur

Laporan Sinar Harian pada 3 Julai lalu.
Laporan Sinar Harian pada 3 Julai lalu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) tidak bercadang mewujudkan tapak penjaja di petak kosong Jalan Eco Grandeur Puncak Alam di sini.

Yang Dipertua MPKS, Mohamad Hanafe Basri berkata, tapak kosong itu tidak digazetkan sebagai tapak penjaja.

Bagaimanapun, katanya, MPKS telah menawarkan 10 lokasi petak kosong di tapak-tapak penjaja sekitar Puncak Alam.

"10 lokasi tapak penjaja yang mempunyai kekosongan itu ialah di hadapan Pasar Raya Lotus's, Dataran Alam Suria dan Pusat Perniagaan Alam Jaya.

"Selain itu, tapak penjaja lain ialah Astana Alam, Puncak Bestari, Lorong Cakera Purnama 12/28, di hadapan Apartment Residensi Warnasari 2, Naluri Sukma dan hadapan Alpina Abadi Puncak Alam," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau menjelaskan, hasil semakan lanjut MPKS terdapat 50 penjaja berniaga tanpa permit di atas tempat letak kereta sekitar kawasan tersebut.

Kata beliau, MPKS turut menerima sebanyak 31 aduan daripada pemilik premis dan penyewa di Eco Grandeur

serta orang awam berkaitan aktiviti perniagaan tersebut sejak Januari tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Jabatan Pelesenan berkolaborasi bersama Jabatan Penguatkuasa MPKS telah menjalankan operasi pada 29 Jun lalu bermula jam 8 malam.

"Semasa operasi dijalankan, Jabatan Pelesenan telah menyerahkan borang permohonan tapak penjaja kepada semua penjaja dan tindakan kompaun oleh Jabatan Penguat kuasa MPKS," tegas beliau.

Sinar Harian 3 Julai lalu melaporkan, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Puncak Alam merayu MPKS tidak meneruskan tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti perniagaan mereka di Jalan Eco Grandeur Puncak Alam di sini.

Pengerusinya, Mohd Faiz Hafizi Kamarudin berkata, sejak kebelakangan ini anggota penguat kuasa MPKS giat menjalankan tindakan kompaun dan mengeluarkan notis pengosongan tapak berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!