Sesat dalam filem ditapis, syirik pula dilepas

Kebanjiran filem mistik, bomoh dan sihir merosakkan pemikiran masyarakat serta generasi muda

TEMA mistik, jin dan sihir sering diangkat dalam industri perfileman menyebabkan masyarakat terdedah dengan adegan syirik. Gambar kecil: NAJIHAH SAFFIYAH (atas), ZUL NURAIN ZUHANA (bawah kiri) & NUR QYRA ADLINA.
TEMA mistik, jin dan sihir sering diangkat dalam industri perfileman menyebabkan masyarakat terdedah dengan adegan syirik. Gambar kecil: NAJIHAH SAFFIYAH (atas), ZUL NURAIN ZUHANA (bawah kiri) & NUR QYRA ADLINA.
A
A
A

FILEM dan masyarakat tidak boleh dipisahkan. Tidak dinafikan, industri perfileman mempunyai peranan besar dalam membentuk pemikiran dan karakter rakyat Malaysia.

Filem seperti Mat Kilau, Sarjan Hassan, Malbatt: Misi Bakara berjaya membangkitkan semangat patriotisme rakyat Malaysia.

Terkini filem-filem yang mempunyai unsur syirik seperti sihir, jampi, sumpahan menjadi trademark, sinonim dan tarikan rakyat.

Filem seperti Munafik dan Munafik 2, Dukun dan Sumpahan Jerunei membuatkan rakyat merasa takut tentang alam ghaib. Hal ini membuatkan ramai orang lebih takut kepada alam ghaib daripada takut kepada ALLAH SWT.

Adakah ini mesej yang hendak disampaikan oleh pembuat filem dari kategori ini? Penapisan filem ditugaskan untuk menghalang elemen porno tetapi kenapa tidak dilakukan kepada unsur syirik juga?

Filem seperti Munafik 2 dan Dukun pula menimbulkan banyak tanda tanya mengenai apa sebenarnya fungsi al-Quran.

Hal Ini kerana al-Quran hanya ditunjukkan sebagai ‘alat’ untuk menghalau hantu, membuang saka atau menghalau hantu keluar daripada badan tetapi fungsi sebenar tidak ditunjukkan.

Artikel Berkaitan:

FILEM-FILEM seram serta berunsur mistik, jin dan sihir mendapat tempat di hati masyarakat di negara ini.
FILEM-FILEM seram serta berunsur mistik, jin dan sihir mendapat tempat di hati masyarakat di negara ini.

Oleh sebab itu, generasi muda mudah mempercayai apa yang dipaparkan oleh media menyebabkan akidah mereka mudah goyah dan rapuh. Maka fahaman yang tidak benar ini perlu diluruskan dengan segera.

Apakah fungsi filem, industri dan penapisan filem dalam membentuk masyarakat Islam? Atau apakah peranan mereka telah beralih arah kepada keuntungan dan permintaan penonton semata-mata?

Bercakap mengenai Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620), ia dikeluarkan untuk menapis unsur lucah dan unsur yang tidak dibenarkan dalam agama.

Jelas di sini ada standard berbeza yang dipraktikkan dalam industri ini yang mana tidak selari dengan ajaran Islam dalam sebuah negara yang mendakwa mengikut ajaran Islam sebenar.

Syirik dan Sesat

Syirik adalah perbuatan menduakan ALLAH SWT dalam segala aspek iaitu perbuatan, perkataan, pegangan atau iktiqad.

Individu yang mengamalkan perbuatan ini digelar sebagai musyrik kerana mereka lebih bergantung dan percaya kepada kuasa lain selain Sang Pencipta.

Namun sekeji manapun perbuatan ini, acap kali syirik yang mengandungi unsur jin, mistik dan sihir menjadi tema dalam media Malaysia memandangkan ia mendapat sambutan hangat daripada komuniti Melayu.

Sesat pula didefinisikan sebagai tidak mengikut jalan yang betul berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat. Ia juga bererti terpesong daripada kebenaran.

Apabila kita mendengar perkataan sesat, perkara yang pertama terlintas di fikiran adalah ajaran sesat seperti ajaran Ayah Pin, Si Hulk, Millah Ibrahim dan sebagainya.

Selain itu, gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender atau LGBT juga termasuk dalam spektrum perkara yang menyesatkan.

LGBT merupakan salah satu isu yang diambil berat dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam memandangkan ia jelas ditegah dalam al-Quran.

Oleh itu, hal ini mempengaruhi polisi penapisan perfilman memandangkan isu ini semakin mendapat tempat dalam media.

Sebagai contoh, filem Beauty and the Beast yang ditayangkan pada tahun 2017 mendapat kritikan daripada rakyat Malaysia kerana mengandungi babak yang membawa unsur gay.

Hal ini menyebabkan Lembaga Penapisan Filem memotong babak berkenaan sebelum filem tersebut ditayangkan. Begitu efektif lembaga ini berfungsi dalam perkara ini.

SALAH satu babak berunsur LGBT dipotong dalam filem Beauty and The Beast sebelum ditayangkan di negara ini.
SALAH satu babak berunsur LGBT dipotong dalam filem Beauty and The Beast sebelum ditayangkan di negara ini.

Jelas di sini betapa ketatnya polisi penapisan filem dalam menyekat mesej-mesej yang boleh membawa kepada kesesatan daripada terpapar dalam media.

Namun begitu adakah sesat hanya terhad kepada ajaran sesat, gerakan LGBT dan sewaktu dengannya manakala syirik hanya terbatas kepada sihir, jin, jampi dan mistik sahaja?

Jelas sesat bermaksud apa sahaja perkara yang menyimpang daripada kebenaran dan syirik pula membawa makna apa sahaja yang menduakan ALLAH bukan sekadar sihir, jampi, mistik, jin menurut standard Islam dan bukan takrifan manusia.

Korupsi Ilmu

Antara sesat yang kurang ditekankan adalah korupsi ilmu. Hal ini kerana skop sesat dihadkan dan tidak bersifat menyeluruh agar ia dapat merangkumi isu korupsi ini.

Bagaimanapun, tidak dinafikan korupsi ini wujud dan impaknya berupaya memberi fahaman yang bengkok berbanding sesat yang lain.

Perlakuan yang termasuk dalam korupsi ilmu adalah apabila mereka yang mengetahui dan mempunyai ilmu namun tidak menyampaikan kebenaran dan hanya berdiam diri sahaja.

Dalam konteks ini, orang yang mengetahui selalunya merujuk kepada agamawan dan ilmuwan memandangkan golongan ini yang selalu dijadikan sebagai rujukan dalam setiap permasalahan.

Apabila kita melihat posisi ulama dalam permasalahan terutamanya dalam isu polisi penapisan filem, seringkali mereka hanya bersuara apabila ia melibatkan isu yang sudah terang bersuluh salah dalam Islam contohnya isu LGBT, Palestin, poligami dan lain-lain.

Perbuatan lain seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, hedonisme, bertuhankan hawa nafsu, menyembunyikan kebenaran, mendefinisikan sesuatu tidak mengikut standard Islam, menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal tidak ditegah, bahkan semakin dinormalisasikan dalam paparan media.

Sebagai umat Islam, adakah kita dibenarkan mengambil sebahagian daripada dalam kitab dan ingkar sebahagian yang lain? Namun inilah mesej yang kerap disampaikan dalam industri filem Melayu.

ADEGAN dalam filem-filem mistik yang mempunyai unsur bomoh, sihir dan jin boleh mempengaruhi masyarakat terutamanya generasi muda sekiranya tiada penjelasan lanjut dibuat.
ADEGAN dalam filem-filem mistik yang mempunyai unsur bomoh, sihir dan jin boleh mempengaruhi masyarakat terutamanya generasi muda sekiranya tiada penjelasan lanjut dibuat.

Akhir kata, apakah tujuan sebenar penapisan filem? Adakah ia untuk mengelakkan kerosakan minda dan akidah bangsa muda? Tetapi mereka membenarkan filem-filem yang mengandungi sihir dan jampi.

Jika tujuan mereka adalah menapis perkara yang dilarang dalam Islam kerana ia akan merosakkan minda dan akidah golongan muda, mengapa benda sedemikian dibenarkan dan ditonjolkan selalu? Apa sebenarnya mesej yang hendak disampaikan kepada penonton?

Sebagai peminat filem, penyelesaian yang perlu diambil untuk mengelakkan anak muda menjadi semakin korup ilmu adalah industri perfileman perlu menjelaskan apa yang mereka cuba pertahankan.

Jangan disebabkan sekelompok manusia yang mempunyai duit dan pengaruh yang besar dalam industri tersebut, mereka boleh memperkotak-katikkan polisi yang telah dibuat. Mangsanya adalah umat Islam sendiri.

Sudah tiba masanya industri perfileman dan pembuat polisi melihat balik polisi penapisan yang dibuat dari dasar bekas penjajah. Adakah masih relevan dan menyeluruh?

Ingatlah media seperti industri perfileman adalah gerbang utama untuk dunia lihat siapa kita dan apakah Islam di mata mereka, adakah kita ingin memberi pandangan yang kita lebih mengagungkan sihir atau zina daripada asas Islam yang sebenar?

***NAJIHAH SAFFIYAH MOHD SALLEH, ZUL NURAIN ZUHANA ZULKARNAIN & NUR QYRA ADLINA ADLIL HARFY merupakan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Pagoh, Johor.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!