[VIDEO] 'Saya pilih untuk susah bersama rakyat' - ADUN Rembia

A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Melaka, Datuk Muhamad Jailani Khamis menjelaskan keputusannya menyertai Pas adalah untuk sama-sama berjuang dengan rakyat yang berdepan kesusahan ketika ini.

Menurutnya, tindakan yang diambil itu juga bertentangan dengan langkah enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas faktor peruntukan.

“Saya pindah (tukar parti) untuk memilih susah bersama rakyat. Kalau rakyat susah dengan dasar-dasar kerajaan yang menekan ini, kita susah bersama-sama dan senang (juga) bersama-sama,” katanya ketika sidang akhbar di Parlimen pada Selasa.

Muhamad Jailani
Muhamad Jailani

Tambah Muhamad Jailani, beliau sebelum ini pernah menghantar surat kepada Lembaga Disiplin UMNO memohon untuk memecat keahliannya daripada parti yang sinonim dengan orang Melayu itu.

"Saya sudah minta cara baik tetapi digantung (keahlian). Ibaratnya, kamu kahwin dengan saya, tetapi kamu seksa saya... gantung tidak bertali.

"(Mereka) sekat peruntukan (kawasan DUN) dan rampas pejabat saya. Macam mana saya nak berkhidmat?," soalnya lagi.

Sementara itu, ditanya sama ada kedudukannya di DUN Melaka masih di blok kerajaan atau sebaliknya, Muhamad Jailani berkata, tempat duduknya ‘terpinggir’.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Selasa mengumumkan Muhamad Jailani menyertai parti itu secara rasmi.

Menurut Takiyuddin, keahlian Muhamad Jailani yang juga wakil rakyat UMNO yang digantung keahlian selama enam tahun itu diterima pada 10 Jun tahun lalu.

UMNO tahun lalu dilapor menggantung keahlian Muhamad Jailani selama enam tahun kerana didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana dengan sengaja hadir pada majlis pengumuman calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Bakri, Johor.

Muhamad Jailani sebelum ini didesak meninggalkan UMNO dan menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia disandang berikutan tindakannya menyertai perhimpunan parti pembangkang sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Beliau yang menang pada PRU14 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR), antara empat ADUN Pakatan Harapan (PH) yang melompat menyokong Barisan Nasional (BN) bagi mengambil alih pentadbiran negeri pada Mac 2020.

Beliau kemudian dikatakan dipecat parti itu sebelum mengumumkan menyertai UMNO bagi membolehkannya dipilih bertanding semula mewakili BN pada PRN 20 November 2021.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!