Remaja lelaki lemas di sungai
KOTA TINGGI - Seorang remaja lelaki ditemui lemas di Sungai Jalan Wayang, Kampung Tembioh Kota Tinggi petang tadi.
Mangsa, Mohamad Zamarul Izwan Zaini, 16, ditemui orang awam yang kemudiannya memaklumkan penemuan itu kepada pihak berkuasa.
Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azman Jantan berkata, mangsa bersama dua rakannya menaiki bot di sungai itu namun tidak sempat menyelamatkan diri selepas bot mereka terbalik.
Katanya, sembilan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 5.21 petang.
"Dua rakan mangsa iaitu Mohd Syafiq Raihan dan Mohd Khairy Afdlin bin Khairudin masing-masing berusia 16 tahun menyelamat diri dengan berpaut pada bot yang terbalik.
"Operasi ditamatkan pada jam 7.24 malam tadi dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!