KPM, JKR segera atasi masalah sekolah daif - PAC

Ermieyati (tengah) ketika sidang akhbar PAC di Parlimen pada Selasa.
Ermieyati (tengah) ketika sidang akhbar PAC di Parlimen pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mempercepatkan tindakan berhubung projek pembangunan, kerja ubah suai atau naik taraf bangunan sekolah daif.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kedua-dua pihak itu turut digesa mempergiat proses verifikasi bagi data-data yang telah dikunci masuk dalam sistem pengurusan pendidikan.

“Hari ini PAC membentangkan Laporan Tindakan Susulan KPM, JKR Malaysia, JKR Sarawak Dan JKR Sabah bagi Syor-Syor Laporan PAC Berhubung Pengurusan Naik Taraf Dan Pembangunan Semula Bangunan Daif Di Sekolah.

“PAC berpandangan masih terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan bagi mencapai inisiatif sifar bangunan sekolah daif. Kerajaan khususnya KPM dan JKR perlu lebih proaktif mempercepat tindakan berhubung projek pembangunan,” katanya ketika sidang akhbar di Parlimen pada Selasa.

Pada 3 Julai lalu, PAC telah mengadakan Prosiding Tindakan Susulan berhubung isu sekolah daif dengan memanggil wakil daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan KPM.

Susulan itu, terdapat empat syor PAC yang telah dikemukakan kepada pihak MOF dan KPM serta kedua-dua kementerian itu telah mengemukakan maklum balas terhadap syor-syor berkenaan.

Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah memaklumkan, PAC turut mencadangkan agar KPM melihat kepada kerja-kerja pencegahan bagi menangani isu bangunan daif di sekolah dengan mengambil kira kewangan dan peruntukan sedia ada.

Mengulas mengenai pertukaran Naib Pengerusi PAC, beliau berkata, jawatan berkenaan mengalu-alukan pelantikan dan kehadiran Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai naib pengerusi baharu.

Artikel Berkaitan:

“Selamat datang dan tahniah diucapkan kepada beliau (Teresa). PAC percaya pengalaman sebagai Ahli Parlimen sejak tahun 1999 dan mantan Menteri Industri Utama dapat menjadikan PAC lebih berwibawa.

“Di kesempatan ini, PAC ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi atas khidmat dan jasa dalam jawatankuasa ini sejak Parlimen ke-14 sebagai ahli PAC dan sebagai Naib Pengerusi PAC Parlimen ke-15 sejak 4 April 2023,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!