Operasi cari mayat bayi dalam sungai dihentikan

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.
A
A
A

PARIT - Operasi pencarian mayat bayi perempuan yang dicampak sepasang kekasih ke Sungai Perak berhampiran rumah pam Lembaga Air Perak (LAP), Teluk Kepayang, Bota di sini ditamatkan petang tadi.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, keputusan kira-kira jam 3.30 petang itu dibuat selepas mengambil kira keadaan aliran air sungai yang deras.

"Kita juga ambil kira bentuk muka bumi berdasarkan laporan penilaian daripada Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan dan BBP Seri Iskandar di lokasi kejadian.

"Operasi menyelam tidak dapat dilakukan pasukan PPDA biarpun mendapat kerjasama daripada pihak LAP," katanya di sini hari ini.

Katanya, kedalaman sungai kira-kira 30 kaki di kawasan pam air dan keadaan air sungai yang deras menyebabkan selaman tidak dapat dilakukan kerana terlalu berbahaya.

"Jadi operasi pencarian mayat bayi ini tidak dapat diteruskan walaupun pihak LAP setuju menutup pam di sungai berkenaan selama sejam.

"Orang ramai terutama penduduk kampung yang menemui sebarang objek mencurigakan diminta menghubungi polis," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, suspek wanita dalam kes itu sudah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, operasi pencarian diteruskan pagi tadi dengan bantuan pihak bomba dan penyelamat di lokasi dipercayai mayat bayi itu dicampak ke dalam sungai.

ARTIKEL BERKAITAN: Operasi pencarian mayat bayi diteruskan

Pasangan kekasih itu juga direman selama empat hari sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut.

Semalam, Sinar Harian melaporkan polis menahan sepasang kekasih disyaki membuang mayat bayi perempuan yang baru lahir ke Sungai Perak di Teluk Kepayang, Bota di sini.

Suspek yang mengakui mengandung anak luar nikah selepas terlanjur bersama teman lelakinya membungkus bayi tersebut dan menyimpan dalam almari selama tiga hari.

Dia kemudiannya menyerahkan kepada teman lelakinya sebelum dibuang ke dalam Sungai Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kenapa kau buang anak itu?'

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!