Kerajaan lihat semula semua perjanjian penjualan air kepada Singapura

Fadillah. Foto Bernama
Fadillah. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang melihat semula semua perjanjian yang ada berkaitan isu penjualan air mentah kepada Singapura pada kadar 3 sen (SGD 0.01) bagi setiap 1,000 gelen sejak tahun 1962, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, perkara itu sudah berlaku ketika zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad lagi.

"Kena tanya balik Tun Mahathir, masa dia jadi perdana menteri dulu perkara itu masih berlaku. Sama ada kita beri subsidi atau tidak, kita sedang melihat balik semua perjanjian yang ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Water Malaysia Specialised Conference and Exhibition 2024, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad, Jumaat lepas bahawa Malaysia memberi ‘subsidi’ kepada Singapura sejak 61 tahun lalu dengan menjual air mentah sebanyak 250 juta gelen sehari dengan kadar hanya 3 sen (SGD 0.01) sahaja bagi setiap 1,000 gelen sejak tahun 1962.

Perjanjian Air Sungai Johor pada 1962 yang akan berakhir pada 2061, memberikan Singapura 250 juta gelen air mentah sehari pada harga 3 sen bagi setiap 1,000 gelen dan Malaysia membeli semula air yang dirawat pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!