PRK Nenggiri: Ahmad Maslan ingatkan pengundi tak ulang silap sama pilih PN

Ahmad (dua dari kiri) melawat reruai sempena Majlis Mesyuarat Agung Tahunan PKMM pada Selasa.
Ahmad (dua dari kiri) melawat reruai sempena Majlis Mesyuarat Agung Tahunan PKMM pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri diingatkan tidak membuat kesilapan kedua dengan memilih calon salah yang kemudiannya membuat 'u-turn' sehingga berlaku pelaksanaan pilihan raya kecil (PRK).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pemilihan calon mesti individu yang boleh membawa kepada pembangunan dibantu oleh kerajaan pusat.

Menurut beliau, tiga nama yang dihantar oleh Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah sudah diterima oleh pucuk pimpinan.

"Saya sudah jumpa, bagus dia (calon), nama (calon) saya tidak boleh sebut, sebab itu hak Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), mana tahu tiba-tiba bertukar fikiran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) pada Selasa.

PRK Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kekosongan kerusi selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian Bersatu apabila menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi, berbanding calon BN, Ab Aziz Yusoff yang memperolehi 5,707 undi.

Dalam pada itu, Ahmad memberitahu, pertemuan hampir sejam bersama bersama Tengku Razaleigh mengharapkan kemenangan di Nenggiri.

Artikel Berkaitan:

"Kita harap boleh membawa kejayaan di Nenggiri dan saya secara peribadi memang ingin meneruskan pembangunan di kawasan itu dengan dibantu oleh kerajaan pusat," katanya.

Menurut beliau secara keseluruhannya terdapat lebih 20,000 pengundi di DUN berkenaan membabitkan sembilan kampung, sembilan pusat daerah mengundi (PDM) di kampung tradisi, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan kampung Orang Asli.

Dalam pada itu, beliau turut berpendapat, calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding menggunakan logo Pas menunjukkan mereka tidak yakin dengan parti sendiri.

"Kalau mereka guna bendera dari parti lain, nampak sangat tidak yakin kepada parti sendiri," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!