China larang perdagangan haiwan liar
BEIJING - China mengarahkan larangan sementara urus niaga melibatkan haiwan liar selepas negara itu bergelut membendung penularan koronavirus yang membawa maut dipercayai disebarkan dari sebuah pasar borong makanan laut di Wuhan pada bulan lalu.
Perintah baharu dikeluarkan Kementerian Pertanian, Pentadbiran Negara untuk Peraturan Pasaran dan Pentadbiran Perhutanan itu, perbuatan memelihara memindahkan atau menjual kesemua spesies haiwan liar adalah dilarang berkuat kuasa hari ini sehingga epidemik tersebut berakhir.
Arahan itu melibatkan kesemua perniagaan, pasar, kedai makanan dan minuman serta platform e-dagang.
Menurutnya, pengguna perlu memahami dengan lebih jelas mengenai risiko memakan haiwan liar dan mereka perlu mengamalkan pemakanan sihat.
Langkah itu dibuat selepas perdagangan haiwan liar tersebut mencetuskan risiko dan kebimbangan kesihatan awam kerana patogen bawaan haiwan tersebut dikhuatiri menjangkiti manusia.
Sebelum ini, virus Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang meragut hampir 700 nyawa di China dan Hong Kong pada 2002 turut dikesan pada haiwan liar yang didakwa dibawa kelawar dan menjangkiti manusia melalui musang.
Musang antara puluhan haiwan yang dijual di pasar Wuhan bersama spesies lain termasuk tikus, ular, salamander gergasi dan anak serigala.
Sebelum ini, saintis memberi amaran perdagangan haiwan liar membawa manusia lebih dekat dengan virus haiwan yang merebak dengan cepat pada masa ini.
China pernah melancarkan operasi menyasarkan perdagangan haiwan liar selepas serangan wabak SARS namun aktiviti itu tetap kembali seperti biasa.- AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!