Dr Zulkifli Al-Bakri pula jadi mangsa deepfake

Dr Zulkifli
Dr Zulkifli
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menjadi mangsa aplikasi digital dipacu teknologi kepintaran buatan (AI) yang dikenali sebagai ‘deepfake’, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mendedahkan beliau turut menjadi mangsa.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, sudah ada beberapa video dengan wajah dan suaranya yang diubah suai menggunakan AI.

“Sudah ada dua hingga tiga dengan wajah dan suara saya yang diubah suai menggunakan AI untuk menipu orang ramai melalui penjualan produk kesihatan dan pelaburan.

“Saya dimaklumkan sudah ada yang terpedaya dengan modus operandi penipuan ini. Pihak pejabat saya telah buat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan aplikasi digital dipacu AI yang dikenali sebagai deepfake, kini semakin banyak dimanipulasi bagi menghasilkan imej, audio atau video palsu individu terkenal di dalam dan luar negara bagi melakukan penipuan.

Melalui teknologi baharu itu, pelaku boleh menghasilkan imej palsu menyerupai wajah sebenar mangsa hingga sukar untuk membezakan antara yang asli dan palsu.

Terbaharu, Siti Nurhaliza meminta orang ramai agar tidak terpedaya dengan taktik scammer yang didakwa menggunakan teknologi deepfake AI bagi meniru suara dan wajahnya demi mengaut keuntungan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!