Nur Farah Kartini ceria, rapat dengan keluarga - Abang

Ahli keluarga dipercayai waris kepada Nur Farah Kartini Abdullah iaitu Syeril Norsyuhada (kanan) dan Farizza Azmi Abdullah (kiri) ditemui pemberita semasa hadir untuk pengecaman mangsa di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh pada Selasa. Foto Bernama
Ahli keluarga dipercayai waris kepada Nur Farah Kartini Abdullah iaitu Syeril Norsyuhada (kanan) dan Farizza Azmi Abdullah (kiri) ditemui pemberita semasa hadir untuk pengecaman mangsa di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

SUNGAI BULOH - Ahli keluarga menyifatkan arwah Nur Farah Kartini Abdullah seorang yang ceria dan rapat dengan ibu serta adik-beradik lain.

Mohd Farriza Azmi Abdullah berkata, meskipun dia jarang bertemu dengan adiknya itu, hubungan arwah adalah sangat baik dengan semua ahli keluarga.

Menurutnya, kali terakhir mereka sekeluarga berkumpul adalah pada sambutan Hari Raya Aidiladha lalu di kampung halaman di Miri, Sarawak.

"Arwah adik adalah seorang yang ceria serta rapat dengan ibu serta adik-beradik.

"Kami memang jarang berjumpa dan selama ini dia tak pernah bercerita apa-apa masalah," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh (HSB), di sini pada Selasa.

Ditanya mengenai hubungan arwah adik dengan suspek yang ditahan, Mohd Farriza memaklumkan dia tidak tahu tentang hubungan mereka berdua.

"Pasal lelaki itu, saya tak tahu apa-apa. Arwah tidak pernah bercerita," ujarnya.

Jelasnya, dia sekeluarga masih terkejut dengan penemuan mayat adik bongsu daripada tujuh beradik itu yang juga anak perempuan tunggal.

Artikel Berkaitan:

Mengenai lokasi pengebumian jenazah, Mohd Farriza berkata, perkara itu masih dibincangkan dan akan diputuskan selepas ibu serta ahli keluarga lain tiba dari Sarawak malam ini (Selasa).

Sementara itu, kakak ipar mangsa, Syeril Norsyuhada Suhaimi, 29, meminta mereka sekeluarga diberikan ruang sementara menunggu proses bedah siasat yang mula dijalankan jam 2 petang pada Selasa.

"Apa yang kami boleh kongsikan hanyalah proses bedah siasat akan berlangsung pada petang ini.

"Saya mohon semua pihak termasuk media memberi kami ruang untuk fokus pada proses post mortem dan proses pengurusan jenazah," ujarnya.

Dalam pada itu, dia turut meminta orang ramai dan pihak media tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh mengguris hati keluarga.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!