'Terima kasih Malaysia' - Pan-gon
BEKAS pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokongnya sepanjang membimbing skuad bola sepak kebangsaan.
Menurutnya, jasa baik dan sokongan berterusan penyokong Harimau Malaya amat menyentuh hatinya selain menyifatkan beliau sudah menjadi umpama 'separuh' rakyat Malaysia.
Malah, pengendali kelahiran Korea Selatan itu juga mengakui menikmati perjalanan indah dan luar biasa dalam hidupnya sebagai pengendali Harimau Malaya.
"Sejak saya tiba pada Februari 2022, selama dua setengah tahun yang lalu, rakyat Malaysia benar-benar menghadiahkan saya satu perjalanan yang sangat luar biasa dan indah dalam hidup saya.
"Pada Jun 2022, kita bersama-sama berkongsi kegembiraan Malaysia layak ke Piala Asia secara merit selepas tempoh 43 tahun dan sejak itu, kita telah meningkat ke tangga ke-130 dalam ranking FIFA.
"Pada aksi terakhir Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lalu, kita berjaya seri 3-3 dengan pasukan ranking ke-22 dunia, Korea Selatan, sekali gus menunjukkan satu kebanggaan yang rakyat Malaysia harus ada dalam bola sepak mereka," katanya dalam sidang akhbar khas di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Selasa.
Pan-gon turut mengharapkan peminat bola sepak negara kekal positif dengan keputusannya untuk meletakkan jawatan dan berusaha bersama-sama untuk meningkatkan tahap bola sepak Malaysia.
Beliau juga berjanji akan terus memberikan sokongan dan cintanya kepada bola sepak Malaysia tidak akan berakhir.
"Mungkin saya akan menyumbang dengan acara yang lain. Saya akan pulang ke Hong Kong dan datang semula ke sini minggu depan sebagai sahabat atau penyokong bola sepak," katanya.
Dalam pada itu, Pan-gon menjelaskan bahawa beliau mula memikirkan mengenai masa depannya kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 berakhir selepas perlawanan menentang Taiwan, bulan lalu.
"Alasan saya hanya Presiden FAM yang tahu dan lebih elok untuk saya agar tidak dedahkan kepada umum. Harapan saya agar semua positif dengan keputusan yang diambil," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!