Saya tidak fitnah Lim Guan Eng, cuma jelas tentang siasatan SPRM - Muhyiddin

Muhyiddin ketika hadir pada hari kedua perbicaraan kes saman yang difailkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung isu pengecualian cukai terhadap Yayasan Al-Bukhary di Mahkamah Tinggi pada Selasa. Foto Bernama
Muhyiddin ketika hadir pada hari kedua perbicaraan kes saman yang difailkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung isu pengecualian cukai terhadap Yayasan Al-Bukhary di Mahkamah Tinggi pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak memfitnah Lim Guan Eng berhubung isu pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary.

Sebaliknya bekas perdana menteri itu berkata, beliau hanya memberi penjelasan kepada pihak media mengenai soalan berkaitan projek Jana Wibawa dan Yayasan Albukhary yang ditanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas siasatan dijalankan terhadapnya pada 9 Mac tahun lepas.

"Saya hanya menjelaskan kedudukan dan apa yang berlaku pada diri saya. Saya tidak mempunyai sebarang niat jahat, malah kenyataan itu bukan ditujukan kepada plaintif (Guan Eng) sebaliknya menjelaskan tentang perkara yang sudah berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membaca pernyataan saksinya pada hari kedua perbicaraan kes saman Guan Eng terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu berhubung pembatalan pengecualian cukai Yayasan Albukhary.

"Perkara itu tentu telah berlaku semasa Pakatan Harapan merupakan kerajaan, dan pada masa itu plaintif adalah Menteri Kewangan. Saya tidak menuduh atau memfitnah beliau (Guan Eng), saya cuma merujuk kerajaan ketika itu Pakatan Harapan, dan hakikatnya plaintif merupakan Menteri Kewangan,” katanya.

Selain itu Muhyiddin berkata, LHDN berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan dan Menteri Kewangan bertanggungjawab terhadap keputusan yang diambil oleh jabatan-jabatan di bawahnya.

"Oleh sebab itu apabila saya menerima surat daripada Yayasan Albukhary, saya telah meminitkan surat kepada Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz kerana beliau adalah Menteri Kewangan pada masa itu,” katanya.

Ditanya peguam, Guok Ngek Seong yang mewakili Guan Eng, Muhyiddin bersetuju bahawa dalam surat rayuan daripada Yayasan Albukary tidak menyatakan Guan Eng tidak mengiktiraf pengecualian cukai tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Namun pada pemahaman saya, ketika Yayasan Albukhary tidak diiktiraf pengecualian cukai, Menteri Kewangannya adalah Lim Guan Eng,” kata Muhyiddin.

Guan Eng pada 27 Mac 2023, memfailkan saman terhadap Muhyiddin kerana didakwa mengeluarkan tiga kenyataan berunsur fitnah di Facebook yang melibatkannya berhubung isu pengecualian cukai pada 9, 11 dan 12 Mac 2023.

Laporan mengenai perkara itu kemudiannya diterbitkan beberapa akhbar dan portal berita.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu turut mendakwa kenyataan fitnah itu juga bermaksud beliau menyalahguna kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan LHDN mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan itu, sedangkan mereka tidak sepatutnya dikenakan cukai.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain bersambung esok. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!