PERKESO perkasa pengambilan pekerja tempatan
SHAH ALAM - Keputusan jururawat tempatan menerima tawaran bekerja di luar negara yang menawarkan gaji lebih tinggi disifatkan antara faktor fasiliti perubatan swasta berdepan masalah kekurangan tenaga kerja itu.
Pada 2 Mei lalu, Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memaklumkan kekurangan jururawat di Malaysia diunjurkan berkurang hampir 60 peratus menjelang 2030.
Bagi menangani polemik ini kerjasama daripada pelbagai agensi dilihat berupaya membantu sekali gus mengatasi isu kekurangan jawatan jururawat di Malaysia yang diperlukan bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memainkan peranan signifikan sebagai agensi yang menggalas tanggungjawab bagi memastikan keutamaan kepada bakat tempatan menjadi prioriti dalam mengisi kekosongan jawatan.
PERKESO telah berkolaborasi dengan semua hospital swasta dalam usaha memastikan jururawat tempatan mengisi jawatan sebagai jururawat di fasiliti perubatan berkenaan dengan mengiklankan jawatan yang diperlukan oleh setiap hospital yang terlibat.
Selain itu, PERKESO turut bersama membantu menyenarai pendek calon-calon yang memiliki latar belakang sebagai jururawat yang berdaftar di Portal MYFutureJobs selain melaksanakan karnival kerjaya dan temu duga terbuka.
Antara majikan industri kesihatan yang bekerjasama dengan PERKESO adalah IHH Healthcare Malaysia yang turut menyahut saranan kerajaan bagi menggunakan khidmat jururawat tempatan sekali gus bertindak sebagai serampang dua mata dalam membuka peluang pekerjaan kepada bakat tempatan dan sekali gus mengurangkan polemik pengangguran dalam kalangan graduan untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut.
IHH Healthcare Malaysia juga dilihat membuat perancangan yang rapi dari segi pengambilan bagi jawatan jururawat tempatan dan jururawat asing secara berperingkat dengan KESUMA menerusi PERKESO memastikan keutamaan diberikan kepada bakat tempatan diberikan.
Menurut Ketua Jabatan Sumber Manusia IHH Healthcare Malaysia, Ahmad Shahrin Mohamad Nor, PERKESO memberikan perkhidmatan efisyen dan efektif dalam membantu fasiliti perubatan membuat pengambilan bakat tempatan dan pengurusan pengambilan ekspatriat.
“IHH Healthcare Malaysia telah menerima kumpulan pertama jururawat terlatih asing pada 2 Julai lalu dan jururawat asing ini adalah pengambilan secara kontrak selama dua tahun bagi mengimbangi masalah kekurangan jururawat terlatih di hospital milik IHH di Malaysia buat sementara waktu.
“Walaubagaimanapun, jururawat tempatan kekal menjadi prioriti sekali gus bergerak sebagai tulang belakang operasi hospital di bawah IHH manakala jururawat terlatih asing akan menjadi pelengkap kepada operasinya di Malaysia dengan nisbah 90 peratus jururawat tempatan dan 10 peratus jururawat asing,” ujarnya.
Shahrin menjelaskan, imbuhan gaji yang akan diberikan juga adalah setara berdasarkan pengalaman jururawat tersebut.
“Meskipun begitu, pihak IHH komited dalam usaha menempatkan 100 peratus jururawat terlatih tempatan secara berterusan.
“Majikan lain sewajarnya bekerjasama dengan PERKESO sekiranya ingin menawarkan peluang pekerjaan dan menambah tenaga kerja memandangkan perkhidmatan diberikan oleh PERKESO menerusi platform portal pekerjaan nasional MYFuturejobs yang menyediakan platform pencarian pekerjaan melalui kerjasama bersama rakan strategik serta agensi pekerjaan swasta di Malaysia dilaksanakan secara percuma,”katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!