Mat rempit didenda RM5,000, dijel sehari
MELAKA - Tindakan seorang penunggang motosikal melakukan aksi 'zig-zag' di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) akhirnya menerima padah selepas didenda RM5,000 dan dipenjara sehari oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa.
Tertuduh Khairul Izuan Kamaruddin,31, yang dikehendaki polis sejak tujuh tahun lalu dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.
Khairul Izuan yang bekerja sendiri turut berdepan hukuman penjara selama enam bulan jika gagal membayar denda.
Berdasarkan pertuduhan, dia didapati bersalah menunggang motosikal dalam keadaan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
Perbuatan tersebut dilakukan di Lebuh SPA Stadium Hang Jebat, di sini, pada jam 3.45 pagi, 11 Jun 2013.
Pendakwaan bagi kes itu dijalankan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun dan denda maksimum RM15,000, sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, tertuduh bersama dua lagi penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya dari jejantas di Bertam Ulu melalui Lebuh SPA ke Stadium Hang Jebat sebelum berpusing balik ke arah Bertam Ulu.
Dia kemudiannya ditahan bersama dua lagi rakannya di bawah jejantas itu pada jam 3.55 pagi hari yang sama namun rakannya itu telah dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan hukuman denda pada 2017.
Khairul Izuan didapati telah menghilangkan diri dan gagal hadir ke mahkamah sejak tujuh tahun lalu sebelum berjaya ditahan semula di Taiping, Perak pada Isnin.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhamad Naim Abdul Jalil mencadangkan hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan atas alasan dia terpaksa pulang ke kampung halaman di Taiping, Perak pada 2017 untuk menjaga ibu bapanya yang sakit selain kakaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU).
Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh dipenjara sehari, denda RM5,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Tertuduh juga hilang kelayakan untuk mengambil lesen B2 selama lima tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!