Cadang wujud Jaksa Pendamai pastikan tiada pemimpin tersisih
KLANG - Pemuda UMNO dicadang mewujudkan Jaksa Pendamai bagi memastikan tiada pemimpin mereka berasa tersisih, sebaliknya kekal menyumbang idea demi kebaikan dan pengukuhan parti pada masa depan.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kapar, Afifi Aris berkata, perkara itu perlu dilaksanakan bagi mengekalkan keharmonian dalam parti.
"Kita tidak boleh biarkan pemimpin (UMNO) yang tewas dalam pemilihan, tidak dapat jadi calon pilihan raya dan kalah dalam pilihan raya terus menyepi.
"Mereka ini ada jasa, tetapi disebabkan masalah-masalah tertentu dalam parti, mereka ini merajuk dan terus mendiamkan diri," katanya pada Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Kapar di Dewan Dato' Ahmad Razali.
Majlis itu dirasmikan Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin.
Afifi berkata, Pemuda UMNO mempunyai tanggungjawab besar bagi memastikan pemimpin terbabit kembali dalam satu pasukan sekali gus memperkukuh dan memperkasa parti berkenaan.
"Siapa yang hendak mengambil tanggungjawab?. Sudah semestinya tugas Pemuda (UMNO) diberi tanggungjawab bagi mengembalikan mereka ini kepada UMNO," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!