PDRM tidak lindungi anggota ditahan reman - KPN

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan melindungi anggotanya yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM akan menjalankan siasatan berkaitan kes itu dengan telus dan adil.

"Pendirian kita jelas, pangkat atau kedudukan anda tidak penting. Anggota polis yang melakukan jenayah akan menghadapi keadilan atas apa yang mereka lakukan, jangan harap kami akan melindungi perbuatannya," katanya ketika dihubungi, pada Selasa.

Dalam pada itu, Razarudin turut mengingatkan semua warga PDRM bahawa mereka mengangkat sumpah untuk berkhidmat kepada orang ramai dan menguatkuasakan undang-undang.

"Ingat sumpah ini dan ketahuilah bahawa kelakuan anda mewakili seluruh pasukan polis.

"Kita tidak akan membenarkan 'nila setitik' ini menjejaskan imej polis," katanya diminta mengulas mengenai penahanan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan suspek berusia 26 tahun itu direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Suspek bertugas di Balai Polis Slim River, Perak sejak lima tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan mayat wanita itu ditemui di sebuah ladang kelapa sawit, di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor kira-kira jam 6 petang.

Pemeriksaan awal mendapati, mayat terbabit dipercayai mangsa yang dilaporkan hilang berkait laporan di Tanjung Malim, Perak pada 10 Julai lalu.

Nur Farah Kartini yang berasal dari Miri, Sarawak dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di Taman Universiti, Tanjung Malim.

Kali terakhir mangsa dilihat memakai baju korporat muslimah warna biru jean, bertudung dan berseluar hitam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!