ADUN Sungai Udang cabar Ketua Menteri bubar DUN Melaka

Dr Mohd Aleef
Dr Mohd Aleef
A
A
A

MELAKA - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof mencabar Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dan berlawan dalam pilihan raya negeri (PRN).

Beliau berkata, tiada gunanya Ab Rauf yang juga Ketua Menteri hanya menyatakan mahu merampas kembali kerusi DUN Sungai Udang sekiranya pilihan raya tidak diadakan.

"Saya cabar beliau segera bubar DUN Melaka dan kita lawan, tak guna berkokok dan mimpi percuma.

"Minta YB Tanjung Bidara melihat akan realiti keadaan rakyat sekarang, atau YB tiada perisik mengenai sentimen di kalangan rakyat pada hari ini," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Ujar beliau, tidak mustahil bukan sahaja kerusi DUN Sungai Undang tidak dapat dirampas kembali oleh Barisan Nasional (BN) malah kerusi Perikatan Nasional (PN) yang lain juga sukar untuk ditawan semula.

Media pada Isnin melaporkan Ab Rauf mahu jentera UMNO Melaka mengatur langkah bagi memperkukuh gerak kerja parti itu dalam memastikan kerusi DUN Sungai Udang dapat dirampas kembali pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sekali gus menjadikan seluruh kawasan Parlimen Tangga Batu milik UMNO.

Beliau juga mengingatkan jentera parti supaya tidak leka dalam menjayakan misi berkenaan, agar kedudukan UMNO di negeri itu menjadi lebih kukuh.

Pada PRU DUN Melaka ke-15, kerusi DUN Sungai Udang dimenangi PN yang diwakili Dr Mohd Aleef dengan majoriti 530 undi berbanding calon BN, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang mendapat 6,259 undi.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!