Keperibadian menarik di sebalik imej tegas Yang di-Pertuan Agong - Chun Wai
Dalam temu bual eksklusif, Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai memberi gambaran sepintas lalu mengenai keperibadian Seri Paduka Baginda dan komitmen yang tidak berbelah bahagi Sultan Ibrahim terhadap rakyatnya, di samping pengalaman, hubungan profesional dan peribadinya dengan Seri Paduka Baginda.
Chun Wai berkata, perkenalan dengan Sultan Ibrahim bermula sejak 2014, bermula dengan keprihatinan Seri Paduka Baginda yang merasakan negeri Johor kurang mendapat liputan media, dan seterusnya membawa kepada undangan buat Chun Wai untuk melawat Johor Bahru dan memberikan pandangannya berhubung perkara itu.
Walaupun pada mulanya beliau keberatan untuk bertemu Sultan yang dikenali ramai dengan ketegasannya, Chun Wai sebaliknya menemui sisi berbeza Sultan Ibrahim pada pertemuan pertama mereka.
"Tuanku amat menyenangkan, bersahaja, dan berterus terang. Saya tidak rasa gementar pun," kata Chun Wai tentang pertemuan pertama mereka di Istana Bukit Serene pada Mac 2015, yang menyaksikan Sultan Ibrahim dengan berbusana linen biru langit, mengalu-alukan dialog terbuka.
Perbincangan selanjutnya meliputi pelbagai topik, termasuk potensi ekonomi Johor dan peranan raja-raja dalam tadbir urus moden.
Chun Wai berkata, Sultan Ibrahim amat mengambil berat terhadap kebajikan rakyat kerana Seri Paduka Baginda sering menekankan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia daripada semua kaum dan agama, menentang keras ekstremisme, dan menyokong keharmonian serta perpaduan.
Chun Wai berkata, pendekatan kepimpinan Sultan Ibrahim terus memberi kesan yang mendalam kepada mereka yang mengenali Seri Paduka Baginda dengan rapat. Terkenal dengan perhatian yang teliti terhadap perincian, semua pemimpin kerajaan negeri dan penjawat awam di bawah bidang kuasanya dipastikan mengekalkan standard kesiapsiagaan yang tinggi, mencerminkan sikap tidak bertolak ansur Seri Paduka Baginda terhadap ketidakcekapan.
Walaupun terkenal dengan sikap yang tegas, Sultan Ibrahim menunjukkan sifat ihsan dalam pelbagai tindakan. Daripada memberikan bantuan segera kepada nelayan Orang Asli yang memerlukan, kepada memeriksa sendiri kawasan yang dilanda banjir - pendekatan langsung Seri Paduka Baginda telah mengundang rasa kagum dan hormat orang ramai.
Chun Wai berkata, Seri Paduka Baginda juga terkenal dengan sifat rendah diri dan cukup selesa dengan nikmat keseronokan yang ringkas seperti menikmati nasi lemak dan kopi di kedai makan tempatan selepas solat subuh.
"Jadi, tidaklah memeranjatkan apabila bagi meraikan sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong yang rasmi baru-baru ini, Sultan Ibrahim memilih untuk bersarapan nasi lemak di Kampung Baru di Kuala Lumpur,” katanya.
Chun Wai turut mendedahkan aspek pekerti Seri Paduka Baginda yang kurang diketahui, boleh mengejutkan ramai, yakni sisi humor Sultan Ibrahim yang mendalam dan kebolehan Seri Paduka Baginda berjenaka.
Beliau berkata, satu lagi pekerti membanggakan Yang di-Pertuan Agong ke-17 itu ialah Seri Paduka Baginda merupakan seorang yang adil yang sangat prihatin dengan pandangan rakyat, bersedia untuk mendengar segala bentuk pandangan.
"Bagi Seri Paduka Baginda, adalah sangat tidak adil sekiranya Seri Paduka Baginda hanya mendengar pandangan positif, dan disembunyikan daripada perkara-perkara tertentu. Percayalah, Tuanku akan tahu. Seri Paduka Baginda mempunyai pengetahuan luas dalam banyak perkara. Seri Paduka Baginda juga adalah seseorang yang suka berterus terang, tidak suka berselindung,” katanya.
Selain itu, Chun Wai berkata, Sultan Ibrahim memiliki pelbagai bakat, dan baginda juga satu-satunya Sultan yang mempunyai lesen memandu kereta api serta menerbangkan helikopter dan juga melakukan terjunan payung terjun.
"Sultan Ibrahim juga dikenali ramai memiliki koleksi kereta peribadi yang besar, daripada kereta vintaj sejak tahun 1890-an hingga model terkini dan kereta eksotik. Seri Paduka Baginda sememangnya meminati kereta, malah juga mahir dalam selok-belok mengenai kereta,” katanya.
Bagaimanapun Chun Wai berkata, di sebalik sisi Sultan Ibrahim yang berlembut, Yang di-Pertuan Agong serius dan tegas dalam soal rasuah dengan Seri Paduka Baginda secara terbuka menyatakan komitmennya memerangi sebarang penyelewengan dan rasuah dalam negara.
Beliau berkata, Seri Paduka Baginda juga berhasrat mengembalikan semula rasa bangga dan martabat tonggak kerajaan iaitu badan kehakiman, Polis Diraja Malaysia serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Yang di-Pertuan Agong sentiasa memiliki maklumat yang penuh. Apabila Sultan Ibrahim bertitah bahawa Seri Paduka Baginda memiliki mata dan telinga di mana-mana jua untuk memaklumkan maklumat penuh, percayalah - ia sememangnya benar,” katanya sambil menambah Sultan Ibrahim amat arif dalam hal perniagaan dan berminat untuk meningkatkan ekonomi negara.
Chun Wai berkata, visi Sultan Ibrahim untuk Malaysia adalah jelas - untuk melihat sebuah negara bersatu bebas daripada ekstremisme, dengan kestabilan ekonomi yang diperkukuh serta tadbir urus beretika.
Dengan Almarhum Ayahanda Sultan Iskandar sebagai inspirasi, Sultan Ibrahim berusaha untuk mempertahankan warisan disiplin, perkhidmatan dan integriti.
Dengan upacara pertabalan yang semakin hampir, Wong turut menyuarakan harapan agar Seri Paduka Baginda akan dapat memperkukuh lagi keamanan, keharmonian kaum dan ekonomi yang berdaya tahan di bawah pemerintahannya.
Dalam menggambarkan pekerti Sultan Ibrahim, Wong merumuskannya dengan satu perkataan - disiplin - satu penghormatan yang sesuai kepada seorang raja yang bersedia untuk memimpin Malaysia ke arah masa depan yang menjanjikan kegemilangan.
Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!