KPDN serbu kantin sekolah simpan minyak masak peket
NILAI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan menyerbu sebuah kantin sekolah menengah di sini pada Selasa selepas disyaki menyimpan minyak masak peket satu kilogram (kg) secara haram bagi tujuan memasak makanan pelajar.
Pengarahnya, Muhammad Zahir Mazlan berkata, serbuan melalui Ops Tenera pada jam 10.50 pagi itu berjaya merampas sebanyak 391kg barang kawalan bersubsidi tersebut dianggarkan bernilai RM977.50.
Menurutnya, serbuan yang melibatkan empat orang anggota dibuat hasil risikan, telah berjaya mengesan aktiviti pengusaha kantin tersebut yang menyimpan minyak peket di sebuah kantin sekolah menengah.
"Seorang lelaki warga tempatan berusia 67 tahun mengaku sebagai orang yang bertanggungjawab ke atas premis.
"Dia juga disyaki telah berurusan dengan barang kawalan tanpa lesen atau permit yang sah dan menjadi kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Katanya, selain rampasan minyak masak tersebut, resit belian barang kawalan turut disita untuk siasatan lanjut.
"KPDN Negeri Sembilan sentiasa komited dan akan meneruskan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan bagi mempergiat serta mempertingkatkan kawal seliaan dan operasi ke atas pengedaran barang-barang kawalan.
"Kita tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah KPDN, khususnya dalam membanteras ketirisan dan penyelewengan barang kawalan bagi memastikan aktiviti haram yang boleh menyebabkan kerugian besar kepada rakyat dan negara ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.
"Amaran kepada mana-mana pihak yang berurusan dengan barang kawalan agar mematuhi perundangan yang berkuat kuasa. Mana-mana orang yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!