MH17: Tugas berat sebagai penterjemah bahasa Rusia, pastikan rundingan lancar
KUALA LUMPUR - Masih dalam fasa berbulan madu malah isterinya sedang mengandung enam bulan, tidak menghalang Dr Muhamad Akmal Saleh untuk menerima apabila ditawarkan menjadi penterjemah pasukan penyiasat nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 yang terhempas di Ukraine, 10 tahun lepas.
Kefasihannya berbahasa Rusia membolehkan Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu, yang juga doktor kanak-kanak yang baru sahaja bertugas di Hospital Ampang ketika itu, menjadi insan termuda menyertai misi pasukan penyiasat MH17 pada usia 26 tahun.
"Saya masih ingat ketika dihubungi Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, beliau minta saya bantu untuk jadi penterjemah sebab saya pernah belajar di Moscow selama enam tahun, jadi tiada masalah untuk saya berkomunikasi dalam bahasa itu.
"Sepatutnya itulah masa untuk saya menyambut puasa dan Hari Raya Aidilfitri pertama bersama isteri, tapi saya korbankan untuk berkhidmat untuk negara dan saya tidak pernah rasa menyesal hingga ke hari ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Walaupun berat hati untuk meninggalkan isteri tercinta Dr Fatin Nadirah Idrus, namun bagi lulusan Russian State Medical University di Moscow itu berkata, tugas dan tanggungjawab melebihi segalanya, meskipun terpaksa berjauhan untuk tempoh tidak diketahui (pada ketika itu) bagi menyertai misi tersebut.
Dr Muhamad Akmal berkata, beliau sedar tugas sebagai penterjemah amat penting dan sebarang kesilapan dalam menterjemah mesej yang ingin disampaikan, boleh membuatkan sesuatu rundingan atau komunikasi tidak berjalan lancar.
"Sehebat mana pun individu yang datang, apabila tidak dapat berkomunikasi dengan baik dengan pihak berkuasa atau orang tempatan, maka ia akan menyukarkan urusan. Menjadi kelebihan apabila saya tahu berbahasa Rusia dan tahu budaya mereka dan ini menjadikan mereka lebih senang memberikan kerjasama,” katanya.
Menceritakan tugasnya itu, beliau berkata, selain membantu pengamal media dalam aspek terjemahan, beliau turut membantu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkomunikasi dengan pengurusan masjid sekitar Ukraine, dalam urusan penyempurnaan mayat.
"Masa itu belum ada cadangan untuk bawa semua mayat mangsa ke Belanda, idea asal ialah kita nak selesaikan di Ukraine dan hantar balik Malaysia,” katanya yang turut ditugaskan membantu pegawai perubatan Malaysia di situ, dalam menjaga kesihatan pasukan penyiasat MH17.
Dr Muhammad Akmal berkata, paling mencabar sekali, apabila mereka tidak dapat mengesan hentian akhir bagi keretapi yang bertolak dari Donetsk, yang membawa mayat mangsa MH17 hinggakan beliau berasa tertekan dan risau, sekiranya misi untuk membawa pulang mayat mangsa tersebut tidak berjaya.
"Mayat dari tempat terhempas di Donetsk, ini kawasan perang, jadi mereka bungkuskan mayat ini letak dalam plastik dan letak dalam gerabak keretapi dari Donetsk ke Kharkiv yang merupakan kawasan sempadan perang.
"Mereka hantar mayat menggunakan keretapi, tapi tidak bagi tahu lokasi mana keretapi ini berhenti. Jadi menjadi tugas kami untuk kenal pasti stesen keretapi, kita tanya polis kata tak ada, tanya yang lain kata tak ada, jadi inilah yang paling mencabar sekali.
"Hinggalah kita jumpa dan dapat tahu lokasi sebenar keretapi itu, terus dibawa ke satu gudang di Kharkiv, jauh sikit dari bandar, dalam gudang itulah baru pengurusan mayat itu berlaku, dia ambil mayat, periksa dulu supaya tiada bahan letupan lepas itu, barulah diterbangkan ke Belanda,” katanya.
Walaupun sedekad sudah berlalu, namun ketika ditanya perkara yang beliau tidak boleh lupakan sepanjang misi tersebut, Dr Muhamad Akmal hanya menghela nafas panjang.
"Keadaan mayat, itulah saya tak boleh gambarkan, bila dapat tengok, buka sendiri, itulah sehingga hari ini saya tak boleh lupakan,” katanya.
Penerbangan MH17 milik MAS dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu, terhempas di Donetsk di timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai 2014, selepas ditembak jatuh peluru berpandu ketika terbang di kawasan konflik, menyebabkan kesemua 298 penumpang terkorban.
Mangsa terdiri daripada penumpang dari 17 negara termasuk 198 warga Belanda, 43 rakyat Malaysia, 38 dari Australia dan 10 lagi berasal dari United Kingdom. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!