Kaut untung RM5,000 sehari jual ketum

Wan Jamal (kiri) melihat ketum yang diproses dalam periuk besar ketika serbuan di Kampung Pek, Machang. Foto JKDM
Wan Jamal (kiri) melihat ketum yang diproses dalam periuk besar ketika serbuan di Kampung Pek, Machang. Foto JKDM
A
A
A

KOTA BHARU - Sekumpulan lelaki mengaut keuntungan sehingga RM5,000 sehari dengan menjual air ketum di sebuah bangsal dalam kawasan terpencil di Kampung Pek, Machang.

Mereka dipercayai membawa daun ketum dari utara melalui jalan darat sebelum memprosesnya dengan menggunakan periuk besar di bangsal berkenaan.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, melalui buku catatan jualan yang ditemui ketika pemeriksaan di lokasi mendapati mereka mula menjual air ketum pada Januari.

"Kita dapati mereka menjual RM100 sehari pada Januari dan meningkat sehingga RM5,000 sehari dalam bulan ini (Julai)," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi itu pada Selasa.

Wan Jamal memberitahu, ketika serbuan kira-kira jam 1.30 petang, Selasa, lebih 500 kilogram ketum dirampas dan merupakan rampasan terbesar di Kelantan tahun ini.

Jelas beliau, hasil aduan awam, pihaknya melakukan intipan selama sebulan sebelum menyerbu lokasi memproses ketum itu.

"Kita turut merampas 10 periuk besar berdiameter hampir 100 sentimeter berisi daun yang sedang direbus, tong gas dan peralatan memasak," katanya.

Tambah beliau, kastam turut menyita lima buah motosikal yang dipercayai digunakan oleh individu terbabit untuk keluar masuk ke lokasi berkenaan yang terletak 500 meter dari jalan utama.

Artikel Berkaitan:

Menurut Wan Jamal, nilai rampasan ketum dan kenderaan dianggarkan RM100,000.

Beliau berkata, daun ketum dan cecair yang sudah diproses dipercayai untuk pasaran tempatan.

"Mereka juga disyaki menjual cecair ketum di sekitar kawasan Machang dan daerah berdekatan selain mempunyai pelanggan yang juga pekerja kontrak pembinaan lebuh raya berdekatan," katanya.

Bagaimanapun, beliau memberitahu tiada sebarang tangkapan dilakukan berikutan individu yang sedang merebus ketum menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!