Ee Yi-Yew Sin cipta sejarah tersendiri
BEREGU lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin mencipta sensasi gemilang apabila muncul juara Kejohanan Badminton Thailand Masters 2020 di Bangkok hari ini.
Gandingan yang menghuni ranking ke-20 dunia itu mengesahkan kejuaraan selepas melakar kemenangan ke atas beregu China, Huang Kai Xiang-Liu Cheng 18-21, 21-17, 21-17 pada aksi final.
Kejayaan itu pastinya dianggap hadiah cukup istimewa buat Ee Yi-Yew Sin sempena sambutan Tahun Baru Cina tahun ini, sekali gus mengubati kekecewaan mereka digugurkan daripada skuad kebangsaan awal bulan ini.
Sebagai rekod, ini kali pertama Ee Yi-Yew Sin mara ke pentas final sebagai gandingan profesional. Dalam dua kejohanan sebelum ini, Malaysia Masters dan Indonesia Masters menyaksikan mereka mara sehingga peringkat suku akhir.
Prestasi konsisten Ee Yi-Yew Sin itu turut berjaya memikat hati Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menyenaraikan mereka bagi menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia di Manila, Filipina bulan depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!