'Buat yang terbaik, percaya gerak hati' - Josiah
BUAT yang terbaik dan percaya kepada gerak hati, itu mesej bekas atlet Olimpik tiga kali Josiah Ng kepada jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.
Josiah, rakan sepasukan dan rakan sebilik Azizulhasni sejak 2007 percaya Pocket Rocketman itu mampu bersinar pada masa yang diperlukan.
"Saya sudah mengenalinya lama, saya pernah menjadi rakan sebilik, menjadi orang kepercayaan dan rakan sepasukannya. Jika dilihat pada data kritikal keputusan Olimpiknya, Azizulhasni yang sebenar biasanya akan muncul pada masa yang diperlukan.
"Beliau mara ke separuh akhir di Beijing 2018, final di London 2012, memenangi gangsa di Rio 2016 dan perak di Tokyo 2020. Jadi apa seterusnya?
"Jika anda seorang yang melihat kepada data, apa lagi? Hanya emas! Jika Azizulhasni fokus pada apa yang beliau lakukan dengan baik, iaitu percaya gerak hati, beliau akan membawa pulang emas pertama negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pelancaran koleksi Malaysian Pride PMC (Pestle & Mortar Clothing) x MOM (Majlis Olimpik Malaysia) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Josiah berkata, sama ada Malaysia mempunyai seorang atau dua pelumba pada final acara keirin di Paris dengan Muhammad Shah Firdaus Sahrom menjadi pelumba Malaysia yang turut bertanding dalam acara pecut dan keirin, ia tidak semestinya meningkatkan peluang negara meraih pingat emas.
"Saya rasa Azizulhasni akan melakukan apa yang dia akan lakukan, dengan atau tanpa Shah. Dulu bersama Azizulhasni, kami tidak pernah merancang (apa-apa).
"Kami akan membantu antara satu sama lain tanpa merancang apa-apa kerana jika kami membuat rancangan, ia tidak akan berjaya. Terdapat begitu banyak perkara yang berlaku dalam keirin...jika anda merancang, kemungkinan besar ia tidak akan menjadi,” katanya.
Josiah, 44, juga mempunyai mesej untuk atlet Malaysia yang akan membuat penampilan sulung di temasya sukan terbesar itu: "Nikmatilah saat ini dan jangan biarkan tekanan menjejaskan prestasi anda".
Malaysia menghantar 26 atlet ke Paris dengan antara yang membuat penampilan sulung ialah Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (berbasikal trek), Bertrand Rhodict Lises (terjun) dan Ariana Nur Dania Mohamad Zairi (memanah).
Sementara itu Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Najib melahirkan rasa teruja dengan ketersediaan barangan pasukan kebangsaan seperti baju, jaket dan topi yang boleh dibeli orang ramai mulai Khamis ini.
"Sebelum ini, kita tak jual baju kontinjen sebab isu penajaan tetapi kali ini kita adakan kerjasama khusus untuk produk dijual di pasaran. Kami berharap kolaborasi (bersama PMC) akan berpanjangan,” katanya.
Sukan Olimpik Paris 2024 akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!