Kimanis kemenangan nasionalisme

A
A
A

KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis adalah satu kejutan luar biasa dan membina jalur politik yang lebih sihat kepada negara kita.

Kemenangan itu luar biasa kerana hampir tiada penganalisis dan badan penyelidikan politik yang percaya Datuk Mohamad Alamin mampu menewaskan Datuk Karim Bujang (Warisan), malah kalangan pemimpin BN Sabah dan Pusat pun hanya meletak peluang sekitar 45 peratus untuk mereka menang.

Walaupun Kimanis adalah kubu BN sejak beberapa penggal lalu terdapat beberapa faktor yang tidak menyebelahi BN antaranya ialah posisi BN bukan lagi parti pemerintah dan tiupan sentimen kenegerian yang tinggi.

Jika waktu berkuasa pun calon BN, Datuk Seri Anifah Aman seorang penyandang jawatan dan Menteri Luar, hanya menang dengan majoriti 156 undi.

Apa yang dapat dilakukan BN ketika tiada kuasa dan kedudukan lagi? Tanggapan ramai, majoriti 156 undi ini terlalu kecil untuk dipertahankan oleh BN kali ini.

Selain perubahan kuasa politik negeri dan Pusat yang memihak kepada Warisan, parti utama BN iaitu UMNO mengalami perpecahan serius.

Selepas PRU-14 UMNO Sabah berhadapan krisis kepimpinan yang sangat luar biasa. Daripada menang tujuh kerusi Parlimen dan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri, ia hanya tinggal satu Parlimen (Kinabatangan-Datuk Bung Mokhtar Radin) dan satu kerusi DUN (Sungai Sibuga-Tan Sri Musa Aman).

UMNO Sabah turut kehilangan 21 Ketua Bahagian yang memilih jalur politik lain selepas BN tidak lagi menjadi kerajaan negeri dan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Permainan sentimen kenegerian oleh Warisan sangat membimbangkan. BN dan UMNO dipotretkan sebagai parti Semenanjung yang menentang parti Sabah.

Bukan sahaja pemerhati politik, malah Datuk Seri Shafie Apdal sendiri beranggapan semangat kenegerian peluang terbaik untuk Warisan menang.

Mungkin kerana itu Karim Bujang bertanding atas nama Warisan, bukannya atas nama Pakatan Harapan (PH) malah, Shafie Apdal secara terbuka memainkan sentimen ini. Beliau menyindir calon BN sebagai proksi Semenanjung, bukannya wakil rakyat orang Sabah.

Katanya, “PRK kali ini, saya merayu kepada orang Sabah supaya memilih orang Sabah, hati dan jantungnya Sabah, mukanya orang Sabah; bukannya mukanya orang Sabah, tapi hatinya UMNO Kuala Lumpur.”

Bukti

Rupanya politik kenegerian dan ‘wang’ secara keterlaluan tidak dapat menjamin kejayaan. Tindakan Shafie meletakkan kesalahan kepada UMNO dan BN atas kurangnya pembangunan di Sabah menjadi senjata makan tuan.

Penduduk Sabah tidak lupa bahawa Shafie sendiri pernah menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar melalui BN dan UMNO, namun terpalit dengan dakwaan terlibat dalam pelbagai skandal projek pembangunan di Sabah.

Jika pada awalnya Warisan meletakkan BN dalam keadaan defensif, parti tersebut berjaya membuktikan mereka parti nasionalis yang memahami realisme tempatan melangkaui Laut China Selatan.

Serangan kotor terhadap calon BN sebagai berhati Semenanjung dijawab oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan.

Mohamad Hasan menyifatkan PRK Kimanis seumpama Malaysia biru (warna BN) lawan Filipina putih (warna Warisan).

BN membawa tema mereka memperjuang kepentingan penduduk Sabah dan Malaysia; manakala Warisan dan PH memperjuang Pas Sementara Sabah (PSS) yang menguntungkan pendatang tanpa izin, yang sebahagian besar mereka berasal dari Filipina.

Surat Terbuka Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang menggariskan 10 persoalan mengenai PSS mempengaruhi ramai pengundi Kimanis.

Mereka melihat PSS sebagai kerakusan politik kerajaan tanpa mengambil kira hasrat hati nurani penduduk Sabah. Maka ketika Warisan memainkan sentimen kenegerian, BN memainkan sentimen nasionalisme menentang kejumudan politik.

Akhirnya pengundi Kimanis menolak politik kenegerian yang sempit dan kerakusan kuasa parti pemerintah.

Kemenangan ini terlalu penting buat UMNO dan BN Sabah yang dianggap lawan politik mereka sudah berkubur.

Lebih penting kepada negara, Kimanis adalah satu kemenangan manis buat wacana politik berteraskan nasionalisme.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!