9,241 pelajar Palestin terbunuh dalam serangan Israel sejak 7 Oktober
GAZA - Sekurang-kurangnya 9,241 pelajar terbunuh dan 15,182 cedera dalam serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza dan Tebing Barat sejak 7 Oktober tahun lepas.
Agensi berita Palestin WAFA melaporkan bahawa Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi berkata 9,318 pelajar terbunuh dan 14,671 lagi cedera di Semenanjung Gaza manakala di Tebing Barat, 103 pelajar terbunuh dan 505 lagi cedera.
Kementerian itu menyatakan bahawa sekitar 357 pelajar ditahan di Tebing Barat.
Kementerian itu juga menyatakan bahawa 497 guru dan pentadbir terbunuh dan 3,426 cedera di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.
WAFA melaporkan kira-kira 353 sekolah kerajaan, universiti, bangunan universiti dan 65 milik Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNRWA) dibom dan dirosakkan di Semenanjung Gaza, menyebabkan 139 daripadanya mengalami kerosakan teruk dan 93 musnah sepenuhnya.
Di Tebing Barat, 69 sekolah dan lima universiti di Tebing Barat diserbu dan dirosakkan.
Ia menambah bahawa 133 sekolah kerajaan juga digunakan sebagai pusat perlindungan di Semenanjung Gaza.
Kementerian itu menegaskan bahawa 620,000 pelajar di Semenanjung Gaza masih tidak dapat mendaftar di sekolah mereka sejak permulaan pencerobohan dan 88,000 pelajar juga tidak dapat mendaftar di universiti mereka.
Pihak pendudukan itu juga menghalang 39,000 pelajar dari Semenanjung Gaza menduduki peperiksaan sekolah menengah. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!