Isu lompat parti: Dr Akmal diminta perbetulkan, periksa kenyataan

Shahidan Kassim (kiri), Laporan Sinar Harian
Shahidan Kassim (kiri), Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh diminta memperbetulkan kenyataannya berhubung isu penyertaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis sebagai ahli Pas agar ia tidak disalahtafsirkan.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, Muhamad Akmal perlu memeriksa dan melihat semula kenyataannya itu kerana Muhamad Jailani menyertai Pas sebelum akta lompat parti diluluskan di Melaka.

Menurutnya, lagipun pada ketika itu ia terbuka kepada mana-mana pihak untuk keluar Barisan Nasional (BN), begitu juga orang luar boleh sertainya.

"Saya rasa komen Dr Akmal kali ini tersasar sikit sebab kalau lihat kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung ADUN Rembia, dia masuk Pas bulan Jun 2023 namun akta lompat parti di Melaka hanya diwartakan pada Julai tahun sama. Dr Akmal tolong periksa balik, saya tidak mahu bertelaga dan salah tafsir.

"Berbeza dengan kami yang pakai riben putih di Parlimen, itu sebab Speaker langgar undang-undang. Sepatutnya tidak perlu ditafsirkan, hanya isytihar kekosongan kerusi mengikut perlembagaan," ujarnya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook pada Selasa.

Sebelum itu, Muhamad Akmal mempersoalkan pendirian pemimpin Pas dan Perikatan Nasional berhubung isu lompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Muhamad Akmal berkata, ini kerana sebelum ini kepimpinan Pas dan PN menyelar tindakan tersebut dan mengutuk kerajaan agar tidak menerima katak-katak politik.

Katanya, bagaimanapun, apabila berlaku pada parti sendiri, mereka diam seribu bahasa.

Artikel Berkaitan:

Tambah Shahidan, diharapkan Muhamad Akmal tidak mengeluarkan kenyataan sebegitu kerana kurang baik untuk reputasinya.

"Setakat ini dia ada reputasi baik sebagai pemimpin yang mempunyai pandangan menjurus kepada perjuangan rakyat.

"Dia hentam Pas tidak baik buat begitu sebab kami ada fakta," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!