Hilang nyawa kerana makan buah
SEJAK bulan Jun lalu sehingga kini, negara kita cukup meriah dengan jualan buah-buahan.
Paling meriah ketika ini ialah durian, rambutan dan manggis.
Pelbagai gelagat dapat disaksikan bagaimana penjual melariskan jualan buah-buahan mereka dengan kreativiti masing-masing.
Ada yang menjerit memanggil pelanggan sama ada di gerai masing-masing mahupun menerusi media sosial malah lebih ekstrem lagi sanggup buka baju untuk tarik perhatian pembeli!
Gaya mengopek durian juga turut menjadi perhatian sampai ada yang sanggup turun Melaka untuk datang bertemu abang terpaling style membuka durian.
Durian sememangnya menjadi perhatian setiap kali tiba musim buah-buahan kerana bukan sahaja rasanya yang lazat tetapi ia sukar diperoleh sepanjang masa.
Buah itu bukan sahaja popular dalam kalangan penduduk di negara ini tetapi sudah diminati oleh rakyat negara China apabila pengeksportan pertama durian segar ke negara tersebut dijangka pada Oktober ini melibatkan sehingga 1,000 metrik tan.
Pengeksportan itu dibuat susulan pemeteraian Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China, 19 Jun lalu.
Sebelum ini, Malaysia hanya diberi lesen untuk mengeksport durian sejuk beku dalam bentuk biji, ulas dan pes ke China berbanding Thailand dan Vietnam yang telah mendapat kelulusan mengeksport durian segar ke negara berkenaan.
Menurut Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan, buah durian kaya dengan kalium, kalsium, vitamin C, natrium dan ferum yang mempunyai khasiat untuk tubuh.
Raja buah ini juga turut dikaitkan dengan sebagai buah kayangan kerana harganya yang mahal mengikut varieti sama ada musang king, duri hitam, IOI, paduka dan sebagainya.
Jadi tidak hairanlah ada yang sanggup mencuri untuk merasai keunikan rasa seperti berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini melibatkan seorang nelayan yang didenda RM200 oleh Mahkamah Majistret Balik Pulau.
Dia mengaku bersalah mencuri tiga biji durian dalam sebuah kebun di Jalan Teluk Bahang, Balik Pulau.
Begitu juga dengan rambutan yang dikatakan mempunyai antioksidan yang tinggi, meningkatkan tenaga dan boleh membantu merawat masalah rambut.
Di sebalik pelbagai kisah yang berlaku itu, ramai yang terlepas pandang bahawa pengambilan berlebihan beberapa jenis buah-buahan terutama durian boleh mengundang padah.
Makan durian terlalu banyak memberi risiko kepada pesakit buah pinggang dan jantung kerana boleh menyebabkan peningkatan kandungan garam potassium dalam badan.
Bukan itu sahaja, menggabungkan durian dengan kopi juga boleh menyebabkan tindak balas yang tidak baik kepada badan manusia termasuklah risiko mabuk serta keracunan ringan.
Durian mengandungi sulfur dan tinggi karbohidrat manakala kopi mempunyai kafein yang boleh menyebabkan dehidrasi.
Perkara itu didedahkan seorang doktor perubatan swasta, Dr Ahmad Samhan Awang menerusi aplikasi X yang berkongsi terdapat seorang pesakit rebah di pintu sebuah klinik kerana mengalami pening, rasa mual akibat pengambilan kopi selepas menikmati durian.
Bukan sahaja durian, rambutan juga boleh membawa maut kepada si penggemarnya.
Dilaporkan dalam kejadian pada Ahad lalu, seorang wanita warga emas maut akibat tercekik biji rambutan dalam kejadian di Felda Lawin Utara, Gerik.
Mangsa yang berusia 72 tahun sedang makan buah berkenaan ketika berada di beranda hadapan rumahnya sekitar jam 7 petang.
Bagi pemilik dusun dan peniaga, ketika musim buah-buahan ini memang satu keseronokan bagi mereka kerana pastinya mendatangkan pulangan lumayan.
Bak kata Mr Os dalam lirik lagu Durian Dah Berbunga, kalau musim durian, ramai berani menampar, apa deme nak hairan, saman boleh bayar.
Memang pengambilan buah-buahan ini sangat baik untuk kesihatan namun pengambilan secara berlebih-lebihan dan keterlaluan amat tidak digalakkan.
Bagi memastikan insiden pengambilan berlebihan buah-buahan dek kerana terlampau sedap dinikmati, orang ramai diingatkan supaya berpada-padalah kalau hendak makan.
Makanlah buah secara sihat mengikut keperluan dan bukan melahap selagi ada di depan mata.
* Saifullah Ahmad ialah Ketua Wartawan Perak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!