Kawal selia AI tanpa sekat teknologi
SHAH ALAM - Kerajaan perlu mewujudkan satu undang-undang yang seimbang bagi mengekang masalah penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pada masa sama tidak menyekat perkembangan teknologi, kebebasan bersuara, ekspresi dan seni.
Pakar Undang-Undang dan Perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, oleh sebab itu satu perbincangan antara kerajaan, pemegang taruh, agensi dan syarikat terlibat perlu diadakan bagi mewujudkan satu kerangka kawal selia yang komprehensif.
Menurutnya, tidak dinafikan kewujudan undang-undang yang ketat sedikit sebanyak dapat mengekang masalah tersebut namun dikhuatiri akan menyekat perkembangan dan kemajuan AI dalam negara.
“Bagi saya undang-undang mengawal selia penyalahgunaan teknologi AI bagi tujuan jenayah difikirkan amat wajar sekali. Pihak polis pun ada buat kenyataan bahawa ia boleh mewujudkan ancaman kepada kesejahteraan awam dan negara.
“Namun perlu diingatkan, kita memerlukan kemajuan dalam bidang AI untuk berdaya saing dengan negara lain. Kita risau bila buat undang-undang yang terlampau ketat, pembangunan dalam bidang itu terbantut kerana rakyat tidak berani meneroka AI di Malaysia dan akhirnya akan ke luar negara.
“Sebab itu saya cadangkan kementerian dan pihak terlibat harus mengadakan perbincangan bagi mendapatkan satu kerangka yang lebih seimbang untuk perkara tersebut,” ujarnya kepada Sinar Harian.Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil meminta masyarakat agar berwaspada dengan taktik penipuan menggunakan penyebaran video dan imej palsu atau deepfake yang dihasilkan menggunakan teknologi AI.
Fahmi dilaporkan berkata, penggunaan AI sememangnya membantu pembangunan negara, namun ada pihak yang menyalahgunakan teknologi berkenaan.
Katanya, beliau akan bertemu dengan semua pengendali media sosial di Singapura pada bulan ini bagi membincangkan beberapa perkara termasuk mengenai bahaya AI di platform mereka.
Mengulas lanjut, Khairil Azmin memaklumkan, ada laporan yang mengatakan bahawa Singapura sudah mempunyai undang-undang itu, manakala Thailand dan Indonesia di fasa akhir dalam merangka undang-undang yang sama.
Jelasnya, terdapat juga saranan untuk mewajibkan platform yang menyediakan perkhidmatan AI untuk mengemukakan notifikasi bahawa sesuatu imej atau video yang dipamerkan adalah dijana oleh AI.
“Dengan cara ini, orang ramai dapat mengetahui imej atau video yang dilihat adalah sesuatu yang tulen atau sebaliknya selain dapat mengelak lebih ramai individu menjadi mangsa penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.
“Setakat ini Malaysia tiada undang- undang khas untuk kesalahan AI, hanya kod etika sahaja. Penyalahgunaan media sosial ini sangat kompleks kerana ia melibatkan banyak perkara antaranya isu hak cipta, fitnah malah sivil juga,” ulasnya.
Sementara itu, pakar kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim menegaskan, undang-undang sedia ada dilihat tidak mencukupi untuk membendung penyalahgunaan AI.
“Saya fikir perlu ada satu akta khusus AI di bawah multimedia dan digital. Deepfake (video, imej dan suara palsu) ini amat bahaya bukan sahaja kepada individu malah terhadap keselamatan dan ekonomi negara,” jelasnya.
Deepfake merupakan penipuan wajah, suara individu dengan menggunakan perisian yang dijana oleh cabang AI, antaranya worm GPT, fraud GPT dan lain-lain serta boleh dibeli di pasaran gelap.
Ia digunakan untuk tujuan memanipulasi kandungan bagi seseorang walhal individu sebenar tidak pernah melakukan seperti apa dipertontonkan.
Kebiasaannya mangsa melibatkan individu berpengaruh seperti pernah dilaporkan sebelum ini, iaitu bekas Perdana Menteri Singapura dan penyanyi Amerika Syarikat, Taylor Swift.
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin mendedahkan beliau turut menjadi mangsa deepfake yang meniru suara dan wajahnya demi mengaut keuntungan.
Pada 13 Mac lalu, Parlimen Kesatuan Eropah (EU) menjadi yang pertama di dunia meluluskan satu set peratuan penting untuk mengawal selia AI.
Tambah Shahul Hamid, sekiranya tiada hukuman setimpal terhadap deepfaker, ia mengundang lebih ramai yang teraniaya.
“Deepfake AI ini akan menjadi punca segala jenayah kerana ia menyerupai segenap segi,” ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!