Kemalangan ubah kehidupan Susan
KUANTAN - Seorang remaja Orang Asli tidak pernah membayangkan kemalangan tragis di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak bulan lalu bersama ibu dan adik-beradik telah mengubah takdir hidupnya.
Ibunya, Nor Monod, 38, berkata, insiden itu, mengakibatkan anak sulungnya, Susan Tan Tai Hoi, 17, yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini mengalami kecederaan serius pada kepala.
Menurutnya, Susan kini selesai menjalani pembedahan dan perlu menjalani rawatan intensif selama enam bulan hingga setahun dan peluang pulih mengambil masa lama.
"Susan bergantung pada susu formula khas untuk kelangsungan hidup selepas jalani pembedahan. Dia juga alami kesulitan untuk bercakap dengan baik (lancar).
"Ingatan dia (Susun) juga tidak menentu, ada masa dia ingat, ada masa tidak ingat. Saya sangat bimbang, keadaan ini akan mengganggu kemampuannya untuk berfikir dengan jelas, dan mempengaruhi masa depan pendidikannya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Dalam kejadian pada 28 Jun lalu, kenderaan pacuan empat roda milik Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) membawa wanita Orang Asli itu bersama tiga anaknya, Susan, Serena, 15 dan Jeremy, 5 terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 47.3 Lebuhraya Kuala Kumpur-Karak, Bentong.
Pengarah Jakoa Pahang, Johari bersama sukarelawan melawat Susan sekeluarga di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Bukit Serok, di Muadzam Shah, Rompin pada Isnin.
Ibu kepada empat anak itu memberitahu, Susun perlu minum susu khas setiap tiga jam sekali atas nasihat doktor untuk mengelak daripada berlaku masalah pada pernafasanya.
Tambahnya, Susun juga perlu diurus sepenuhnya oleh keluarga bagi mengelak banyak pergerakan yang mungkin menjejaskan pemulihan kecederaan yang dialami.
"Jadi, untuk berjalan Susan perlu dipimpin, selain menggunakan lampin pakai buang. Saya akan jaga dia sebaiknya.
"Kalau boleh, saya ingin melihat Susan kembali aktif seterusnya ke sekolah, kalau boleh mengambil peperiksaan SPM tahun ini seterusnya menjadi guru suatu guru suatu," luahnya dengan nada penuh pengharapan.
Sementara itu, Johari memaklumkan pihaknya memberi komitmen untuk terus membantu Susan dalam proses pemulihannya, selain berharap remaja ini dapat kembali aktif dan mengejar dapat impiannya menjadi guru.
Katanya lagi, remaja tersebut memerlukan sokongan untuk pulihkan semangatnya.
"Susan tidak boleh dibebani dengan hal-hal yang menyebabkannya terlalu banyak berfikir, karena kecederaan pada kepala telah mempengaruhi kondisi fisik dan mentalnya."
"Pegawai Jakoa Muadzam Shah dibantu sukarelawan Jakoa akan terus memantau remaja berkenaan dengan sentiasa melawatnya di rumah sambil memberi kata semangat dan nasihat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!